BACHOK: Sebanyak 100 pasukan memeriahkan kejohanan Liga Penalti sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Pantai Irama, di sini hari ini.
Kejohanan itu melibatkan seramai 500 peserta dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pantai Irama, Tawang dan Jelawat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd. Huzaimy Che Husin berkata, program tersebut membuahkan hasil positif sempena sambutan Bulan Kemerdekaan kerana berjaya mengumpulkan ramai anak-anak muda.
“Saya yakin penganjuran Liga Penalti Parlimen Bachok itu mampu menyedarkan generasi muda mengenai erti kemerdekaan dan peri pentingnya menjaga keharmonian negara.
“Diharap penganjuran program kesukanan seperti ini mampu mendorong generasi muda untuk lebih menghargai nikmat kemerdekaan walaupun majoritinya tidak merasai keperitan perjuangan generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas perasmian liga berkenaan yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Sementara itu, Pegawai Penerangai Daerah Bachok, Fadli Muhammad berkata, liga penalti dipilih sebagai pengisian Bulan Kemerdekaan di Parlimen Bachok bagi memastikan program dapat dilangsungkan mengikut masa dijadualkan.
Katanya, pelaksanaan program bukan sekadar mahu bersorak gembira dan bersuka ria tetapi mahu eratkan silaturahim. Kita mahu sematkan erti kemerdekaan sebenar dari segi perpaduan, kerjasama dan toleransi. –UTUSAN