Yusuf Taiyoob dahului penerima pingat Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Yusuf Taiyoob dahului penerima pingat Pulau Pinang

Istiadatp Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 28 Julai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Ahli perniagaan terkemuka yang juga Pengerusi Eksekutif Syarikat Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd., Datuk Seri Yusuf Taiyoob mendahului senarai 1,380 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-73 Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Yusuf merupakan penerima darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selain beliau, dua lagi individu iaitu Presiden Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil turut menerima DPPN yang membawa gelaran Datuk Seri.

Seramai 21 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Dr. Awang Adek Hussin; bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa.

Turut menerima DGPN ialah bekas pakar pathologi di Hospital Pulau Pinang (HPP), Prof. Madya Datuk Dr. Bhupinder Singh, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan lain-lain penerima.

Seramai 18 penerima pula menerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk antaranya Pengerusi Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS), Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah; Pengerusi Penang Chinese Clan Council, Datuk Ang Cho Teing dan lain-lain.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ma’arof Sudin; bekas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal; Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah antara 117 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, seramai 107 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (19); Pingat Kelakuan Terpuji (197); Pingat Jasa Kebaktian (333); Pingat Jasa Masyarakat (536) dan Pingat Bakti Setia (29).

Menurut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Law Choo Kiang, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 28 Julai.

”Pada hari pertama, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan negeri Pulau Pinang akan melibatkan seramai 193 orang.

”Hari kedua (25 Julai) melibatkan 399 penerima, hari ketiga (26 Julai) melibatkan 391 orang dan hari keempat (28 Julai) melibatkan seramai 398 penerima,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Menurutnya, istiadat kali ini juga menyaksikan jumlah penerima iaitu seramai 1,380 orang adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun bagi Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya