Wujud taktik penipuan jual minyak masak sebagai minyak sembahyang - Utusan Malaysia

Wujud taktik penipuan jual minyak masak sebagai minyak sembahyang

A. MOGAN (tengah) ketika melakukan serbuan ke atas sebuah lori yang membawa minyak masak bersubsidi dan diseleweng sebelum dipek semula serta diedarkan ke pasaran sebagai minyak sembahyang di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Menyalahgunakan lesen borong barang kawalan yang dimiliki untuk mendapatkan bekalan minyak masak sebelum menyeleweng barang tersebut dan mengedarkannya untuk kegunaan industri.

Itu antara taktik seorang pemborong minyak masak yang berjaya dikesan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang hasil risikan yang dilakukan selama lima hari, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasanya, A. Mogan, susulan risikan itu, satu serbuan dilakukan terhadap sebuah lori yang membawa minyak masak itu dan sebuah kediaman yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barang kawalan berkenaan di Taman Seri Murni, di sini petang ini.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki berusia 50-an sedang leka memotong minyak masak bersubsidi dalam peket sebelum memindahkannya ke dalam tong industri.

“Pemeriksaan yang dilakukan terhadap lori itu menjumpai sebanyak 272 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dalam peket dan kira-kira 952 kg minyak masak sama yang telah dimasukkan ke dalam tong industri.

“Pemeriksaan lanjut di rumah terbabit kemudian menemukan kira-kira 340 kg minyak masak bersubsidi yang disimpan di rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ujar beliau, hasil siasatan mendapati sebahagian minyak masak itu dipek dan diadun semula menjadi minyak khas untuk tujuan sembahyang dan dijual di pasaran pada harga antara RM6 hingga RM8 sekilogram manakala selebihnya dijual semula kepada industri.

“Jelas di sini individu ini (pemborong) cuba meraih untung berlipat kali ganda dengan menyalahgunakan lesen borong barang kawalan yang dimilikinya,” kata Mogan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, susulan serbuan itu juga, seorang lelaki warga tempatan ditahan dan pihaknya turut menyita sebanyak 1,564 kg minyak masak beserta lori yang digunakan untuk membawa barang kawalan berkenaan dengan nilai rampasan dan sitaan secara keseluruhannya berjumlah RM108,900.

Mogan berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama selain denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya.

Katanya, bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama manakala RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Kes ini akan turut disyorkan untuk disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFAPUAA) 2001 dan mengesyorkan supaya lesen borong barang kawalan yang diberikan sebelum ini dibatalkan,” katanya.

Pada masa sama, Mogan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi jika enggan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya