UMP jalin kerjasama dengan dua universiti di Turki - Utusan Malaysia

UMP jalin kerjasama dengan dua universiti di Turki

YUSERRIE Zainuddin (kiri) bertukar dokumen MoU dengan Ahmet Zeki Sengil (kanan) dengan disaksikan Ismail Sabri Yaakob (tengah) dalam majlis yang berlangsung di Ankara, Turki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jalinan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Universiti Medipol Istanbul (IMU) dan Universiti Medipol Ankara (AMU) di Turki bakal memperkukuhkan bidang akademik dan penyelidikan sekali gus membuka ruang ke arah peningkatan hubungan melibatkan institusi pendidikan tinggi antara dua negara terbabit.

Kerjasama ini memfokuskan program mobiliti dan pertukaran pelajar, pelantikan profesor pelawat, penyelidikan, pengajaran dan kerjasama yang turut melibatkan kempen kesedaran berkaitan literasi media dan informasi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bersama komuniti di Ankara untuk dimanfaatkan semua pihak.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Rektor AMU, Prof. Ahmet Zeki Sengil dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis yang berlangsung di Ankara, Turki. 

Yang hadir sama, Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Timbalan Rektor AMU, Profesor Dr. Nevin Sanlier. 

Menurut Yuserrie, pembangunan modal insan menjadi keutamaan dan kerjasama ini juga akan memfokuskan penerbitan bersama, penganjuran seminar, program pertukaran staf dan pelajar. 

“Program turut membabitkan kerjasama dual ijazah serta melibatkan program mempromosikan bidang latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).  

“Dalam usaha ke arah kegemilangan universiti, UMP turut memfokuskan kecemerlangan terhadap pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Yuserrie berkata, kerjasama melibatkan komuniti ini seiring hasrat Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, Pro Canselor UMP selaku Penaung Diraja Sukarelawan UMP dalam menyuburkan agenda kesukarelawanan di peringkat nasional dan antarabangsa. 

“UMP turut memfokuskan aspirasi bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berketerampilan, malah, berdaya saing dan sentiasa ke hadapan bukan sahaja dalam negara, bahkan di peringkat antarabangsa,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya