KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti usahawan tanah air, Rozita Che Wan, 49, berharap semua pihak terutama warganet untuk tidak melaga-lagakan dirinya dengan Noor Neelofa mahupun Nur Fazura.
Menurut Rozita atau mesra dipanggil Che Ta, dia tidak melihat pemberian ikhlas inai jenamanya kepada Fazura baru-baru ini wajar dijadikan satu isu sehingga membawa kepada pergaduhan dan sebagainya.
“Memang saya ada hadiahkan Fazura dengan inai jenama saya baru-baru ini. Tetapi rasanya tiada salah pun bukan? Saya bahkan berterima kasih dengan Fazura sebab sudi berkongsi mengenainya di platform media sosialnya.
“Tapi tak sangka pula ada yang melihatnya sebagai satu isu lain. Walhal, saya tak campur hal peribadi sesiapa pun. Fazura pun tak ada cakap pasal orang lain. Tetapi baik dia mahupun saya, kami kena hentam pula dengan netizen.
“Saya pun jadi pelik sebab sesama rakan artis dan selebriti, hubungan kami baik-baik sahaja. Tak bergaduh atau apa. Jadi tolonglah, jangan melaga-lagakan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, kata Che Ta, dia tidak melihat wajar untuk mereka berbalah sesama rakan artis mahupun mana-mana pihak memandangkan semua orang berhak mencari rezeki dalam ruang persaingan yang sihat.
“Saya kerap kali sebut, rezeki Allah SWT itu luas. Buat apalah nak gaduh-gaduh. Rezeki itu adalah untuk sama-sama kita cari dan kongsi. Tak ada gunanya untuk kita bergaduh apalagi kalau orang lain pula yang melaga-lagakan.
“Saya sentiasa percaya bahawa rezeki itu di tangan Allah. Malah, dari awal saya hasilkan inai ini pun memang nak semua orang mampu pakai dan guna. Sebab itulah saya jual murah namun hasilnya mengagumkan.
“Masing-masing punya hak sebagai pengguna. Terpulang kepada citarasa masing-masing. Terima kasih bagi semua yang tak putus-putus menyokong saya selama ini,”katanya.
Terdahulu, semalam, Che Ta membuat penjelasan di Instagram berhubung kecaman segelintir netizen yang cuba melaga-lagakannya dengan dua selebriti popular tanah air tersebut.-UTUSAN ONLINE