Kadang-kadang, memang lucu dunia artis dan hiburan ini. Cik Bunga nak tergelak pun ada bila ada artis bagi alasan tak nak komen tentang satu isu yang sedang bertebaran dalam industri.
Hendak temu bual dirinya tentang sebuah lagu yang sedang hits sekarang, lalu Cik Bunga pun hubungilah pengurusnya. Kebetulan, memang ada satu isu tentang cara nyanyian artis itu yang dipertikai segelintir netizen. Sudah nama pun kita buat kerja, kenalah dapatkan komen daripada empunya badan tentang apa yang berlaku. Nak tahu apa jawapan yang diberikan oleh artis itu melalui pengurusnya?
Katanya, tak nak komen sebab isu kecil saja. Tak besar mana. Lalu, Cik Bunga tanyalah semula pada pengurus, apa jaminan yang dia boleh beri sekiranya isu itu jadi besar? Betul boleh beri komen nanti?
Dalam hati, Cik Bunga cuma tergelak sajalah sebab bukan sehari dua kita berada dalam industri seni ini. Bukan kali pertama juga artis ‘kencing’ atau tipu kita dengan pelbagai alasan. Nanti jadi besar baru beri komen? Hujung-hujung, ghaib semuanya!
Pada Cik Bunga, ia terletak atas profesionalisme seseorang artis dalam mengendalikan sesuatu isu. Kalaulah artis itu profesional saja dalam hal ini, mungkin Cik Bunga boleh tabik spring pada dia. Muda, berbakat dan profesional.
Bagus jika begitu. Tapi sayangnya, ia tidak berlaku. Selama mana nak bersembunyi kalau ada masalah? Kalau ada soalan panas diajukan, terpulang juga pada cara bagaimana kita menjawab pertanyaan itu, barulah orang hormat.
Barulah artis itu nampak bijak. Yang penting, jawab dan tak lokek bekerjasama dengan teman media.
Tak akanlah bila nak promosi lagu saja media ini dilihat penting dan dianggap perlu. Tak bolehlah begitu….