SHAH ALAM: Diroboh atau dikekalkan Stadium Shah Alam, Kerajaan Negeri Selangor masih tidak mengesahkan status bangunan ikonik di bandar raya ini, sebaliknya perkara itu akan diketahui seawal Oktober ini selepas pameran awam dilakukan, September ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, satu pameran akan diadakan pada bulan tersebut untuk mendedahkan ilustrasi awal stadium dan kawasan tersebut yang mana lokasinya akan dimaklumkan kemudian.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan pembaikan keseluruhan stadium dengan kapasiti 80,300 penonton itu memerlukan perbelanjaan sehingga RM787 juta.
“Apa sahaja keputusan sama ada untuk bina semula atau baik pulih akan dibuat selepas pameran awam itu. Memang banyak kerja-kerja baik pulih yang perlu dilakukan pada stadium itu, justeru, satu keputusan jitu perlu dibuat.
“Projek ini akan dijalankan secara kerjasama awam swasta (PPP) oleh sebuah syarikat yang akan dipilih yang mana kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan sebarang peruntukan untuk projek ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Tunjuk Niat (LOI) untuk pembangunan KSSA di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, hari ini.
Dalam majlis tersebut, kerajaan Selangor yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim menyerahkan LOI kepada Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Dell Akhbar Khan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan nasib dialami stadium tersebut yang dahulunya menjadi tempat penganjuran utama beberapa siri perlawanan akhir Piala Malaysia serta menganjurkan pertandingan bola sepak antarabangsa, namun, dipercayai akan dirobohkan.
Polemik tersebut meraih perhatian bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd. Khir Toyo dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, beberapa ahli politik, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan bekas pemain bola sepak Selangor.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan, rancangan bagi membaik pulih Stadium Shah Alam telah dirancang seawal tahun 2013.
Bagaimanapun, kerajaan negeri dikatakan terpaksa mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan berkenaan kerana mahu memastikan stadium terbabit tidak akan mengalami masalah yang berulang.
“Untuk makluman, pada tahun 2013, Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa kerja menaik taraf Stadium Shah Alam bernilai RM300 juta.
“Pada tahun 2021, satu jawatan kuasa khas yang ditubuhkan kerajaan negeri yang diketuai bekas Pengarah JKR, Datuk Ruslan Abdul Aziz memaklumkan bahawa kerja naik taraf stadium bernilai RM787 juta.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri putuskan bahawa sama ada kita ambil keputusan untuk kerja baik pulih atau bina stadium tidak melebihi RM700 juta,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE