Sofiah gigih perkenal kuih chang halal - Utusan Malaysia

Sofiah gigih perkenal kuih chang halal

SOFIAH Mohd. Yusof menunjukkan kuih tradisional masyarakat Cina iaitu chang halal yang dihasilkannya yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar Muslim makanan itu di kedainya di Bayan Baru, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kesukaran untuk mendapatkan kuih chang yang halal di Pulau Pinang membuatkan Sofiah Mohd. Yusof, 34, nekad untuk menghasilkan sendiri makanan tradisional masyarakat Cina itu.

Mempunyai susur galur keturunan Cina di sebelah ibunya membuatkan Sofiah lebih mudah untuk menghasilkan dan menjual kuih chang pulut ayam yang juga disebut ketupat Cina dalam kalangan penggemar makanan tradisi itu.

Sofiah berkata, kuih chang itu pada mulanya dihasilkan oleh kakaknya, Alice Mohd. Yusof, 43, pada 2016 dan dia hanya membantu memantau operasi perniagaan menjual produk makanan itu dari Singapura memandangkan masih bertugas di negara itu dalam bidang perhotelan.

”Selepas berhijrah mencari rezeki di Singapura selama lebih 10 tahun, akhirnya pada 2019 saya mengambil keputusan untuk pulang ke Pulau Pinang kerana mahu menjaga arwah ayah, Mohd. Yusof Abd. Rahman, 65, yang ketika itu diserang angin ahmar.

“Kebetulan pula pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020 dan saya melahirkan anak sulung ketika itu, disebabkan ada masa lapang saya mengambil keputusan menceburkan diri secara sepenuh masa dalam perniagaan menjual produk makanan halal tradisi masyarakat Cina termasuk kuih chang,”katanya ketika ditemui di Relau, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Sofiah, kuih chang ayam itu sentiasa mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai memandangkan sukar untuk memperoleh kuih chang halal di negeri ini.

”Kuih chang ayam ini merupakan resipi ibu saya sendiri, Yusmi Abdullah, 60, yang diadun dan diolah dengan citarasa orang Melayu memandangkan arwah ayah saya berketurunan Melayu.

”Kuih chang ini dibalut dengan daun buluh dan di dalamnya terdapat pelbagai bahan inti seperti daging ayam, telur masin, buah berangan dan lain-lain bahan yang ditambah menjadikan kuih ini unik dan menepati selera ramai,” katanya.

Tambahnya, setakat ini dia membuka tempahan kuih chang di dalam talian menggunakan platform Facebook, Ambrosia Delicious, dan produk itu sentiasa mendapat sambutan hangat sekiranya dia membuka tempahan untuk pelanggan.

”Dalam sebulan saya dapat jual kuih chang lebih 300 biji dan permintaan untuk kuih ini sentiasa ada kerana ia unik dan mempunyai peminatnya yang tersendiri,” katanya.

Tambahnya, selain kuih chang, dia turut menghasilkan makanan lain seperti mi wantan, nasi kerabu, sambal belacan serta sambal ikan masin dan aktif menjual produk-produk berkenaan di dalam talian menerusi Facebook Ambrosia Delicious.

”Kesemua produk ini termasuk kuih chang dihasilkan di kedai kami di D’Piazza Mall, Bayan Baru.

”Orang ramai boleh berhubung dengan kami menerusi Facebook Ambrosia Delicious atau di talian 012-5968627 untuk menempah kuih chang dan produk makanan lain,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya