BERUAS: Sebuah rumah di Taman Bintang, Pantai Remis dekat sini kelihatan seperti pusat pengumpulan sampah apabila penghuninya membiarkan sampah sarap ‘menggunung’ sehingga menjejaskan kehidupan kejiranan di kawasan tersebut.
Walaupun Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sudah memberi notis sebanyak dua kali, keluarga yang mendiami rumah tersebut tidak menghiraukannya.
Berikutan itu, MPM terpaksa melakukan inisiatif pembersihan dan mengeluarkan timbunan sampah tersebut yang dianggarkan seberat dua tan metrik bermula pukul 8.30 pagi hingga 11 pagi, semalam.
Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, kerja-kerja pembersihan itu adalah yang ketiga dilakukan pihaknya selepas pembersihan pertama pada Januari disusuli empat bulan kemudian.
“Kerja-kerja pembersihan ini dilakukan di kawasan hadapan, tepi dan lorong belakang rumah itu termasuk mengumpulkan dua tan sampah seperti surat khabar, sampah pukal, besi buruk dan tin aluminum.
“Tindakan dibuat di bawah Seksyen 46(1)(D), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana meletakkan barang kitar semula di lorong tepi dan hadapan premis menyebabkan halangan dan kacau ganggu bau di tempat awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, MPM menerima enam aduan penduduk setempat sejak September tahun lalu berhubung masalah itu dan pihaknya mengeluarkan notis kacau ganggu serta notis ingkar arahan kepada pemilik rumah, tetapi tidak dipedulikan.
Beliau memaklumkan, pembersihan di rumah yang dihuni suami isteri dan dua anak itu berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.
“Operasi dilakukan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar bersama Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM menggunakan jentera seperti lori kompektor, jengkaut dan lori,” jelas beliau. –UTUSAN ONLINE