Rugi RM210,850 ditipu sindiket jual Vellfire tidak wujud - Utusan Malaysia

Rugi RM210,850 ditipu sindiket jual Vellfire tidak wujud

TOYOTA Vellfire - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKAH: Hasrat untuk memiliki sebuah kereta mewah tidak kesampaian apabila seorang lelaki pekerja swasta di sini ditipu sebanyak RM210,850 setelah terlibat dengan pembelian kereta dalam talian tidak wujud kelmarin.

Mangsa berusia 37 tahun itu mula sedar ditipu apabila diminta oleh suspek untuk membuat pelbagai transaksi pembayaran, namun tidak menerima kereta Toyota Vellfire seperti dijanjikan.

 Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias, mangsa pada 25 Mei lalu menerusi laman sosial Facebook tertarik satu iklan penjualan kereta melalui Facebook “Thailand Imported Vehicle” yang menawarkan penjualan kenderaan import dengan harga murah. 

 “Mangsa berminat mahu membeli Toyota Vellfire dengan harga tawaran RM33,000 setelah berhubung melalui aplikasi Whatsapp untuk tujuan pembelian.

 “Mangsa tersebut kemudian diarah membuat pelbagai jenis pembayaran melibatkan deposit, caj penghantaran, cukai Kastam, urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya,” katanya.

 Tambahnya, mangsa kemudian terpedaya membuat keseluruhan pembayaran berjumlah RM210,850 dengan melakukan 21 transaksi ke 11 akaun bank yang terlibat bermula pada 30 Mei sehingga 2 Julai lalu.

Justeru, Rizal menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran penjualan kenderaan atau apa apa barangan yang diiklankan dengan harga murah melalui media sosial khususnya Facebook, Instagram, Telegram dan sebagainya.

“Orang ramai juga dinasihatkan jangan sesekali memberikan maklumat perbankan seperti nombor akaun, nombor kad, nombor pin dan kata laluan perbankan online kepada mana-mana individu yang tidak dikenali,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya