Roboh jika tingkat imej bola sepak Selangor - Utusan Malaysia

Roboh jika tingkat imej bola sepak Selangor

KERATAN akhbar Utusan Malaysia pada 29 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cadangan merobohkan Stadium Shah Alam yang berusia hampir 30 tahun wajar disokong jika pembinaan baharu memberi peluang lebih baik kepada pasukan bola sepak Selangor dan menaikkan imejnya.

Ini kerana, perobohan tersebut seharusnya sesuai dengan peredaran zaman sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti padang, stadium serta kemudahannya sebagaimana yang dilakukan di Stadium Wembley, London, England yang menyimpan sejarah panjang bola sepak di negara tersebut.

Bagaimanapun, Stadium Wembley baharu yang dibina pada 2007 itu berkapasiti sehingga 90,000 penonton berbanding asal 82,000 tempat duduk

Bukan itu sahaja, baru-baru ini, Manchester United turut bercadang merobohkan Stadium Old Trafford yang berusia lebih 100 tahun itu bagi memberi laluan pembinaan stadium baharu di atas tapak sama.

Old Trafford kini mampu menempatkan 74,000 penonton dan mahu menaiktarafnya kepada 80,000.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, jika cadangan stadium baharu memberi lebih kebaikan, semua pihak harus memandang ke hadapan dan tidak terbuai dengan nilai sentimen sejarahnya.

“Kita kena sentiasa pandang ke hadapan kerana Stadium Wembley, England yang berusia 100 tahun pun dirobohkan sebab sudah tak relevan dengan zaman sekarang. Stadium itu dirobohkan dan dibina baharu.

“Stadium asalnya penuh dengan sejarah, tetapi mereka robohkan kerana benar, tiba masanya beredar kepada kemudahan yang lebih baik. Tingkatkan keselamatan dan keselesaan.

“Stadium 100 tahun pun mereka sanggup robohkan, kalau sebut pasal sentimen, Stadium Shah Alam, isunya banyak sejarah tetapi baru 30 tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Malah, jelasnya lagi, sentimen terhadap sejarah Stadium Shah Alam perlu dibawa sekali dan tidak boleh diletakkan pada takuk yang lama seiring dengan peredaran zaman asalkan memberi lebih keselamatan, kebaikan dan keselesaan.

Akhbar ini pada 29 Jun lalu melaporkan dakwaan stadium keramat pasukan Red Giants dengan kapasiti 80,300 orang akan dirobohkan dan digantikan dengan bangunan lebih sederhana yang boleh memuatkan 30,000 hingga 40,000 penonton.

Perobohan stadium tersebut juga didakwa bakal melibatkan pembangunan keseluruhan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang berkeluasan sehingga 500 hektar.

Dalam pada itu, Johan menambah, Stadium Shah Alam pernah mempunyai kualiti padang yang baik ketika awal kegemilangannya namun semakin merosot dan ketinggalan selepas terdapat stadium yang mempunyai kualiti lebih baik dan bertaraf antarabangsa.

“Sebenarnya, di Stadium Shah Alam, macam mana saya katakan, basic. Baik tetapi tiada yang istimewa. Cuma kelebihan Stadium Shah Alam adalah sangat besar dan mempunyai sejarah, tetapi dari sudut infrastruktur dan kemudahan banyak ruang yang perlu diperbaiki.

“Sekarang, standard yang terbaik adalah di Larkin (Stadium Tan Sri Hassan Yunos) dan Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru. Baru-baru ini stadium di Terengganu pun mempunyai kualiti padang yang agak baik,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya