BATU PAHAT: Pasangan pengantin Mohamad Aiman Hakim Mohd. Salleh 20, dan isterinya, Nur Asyura Ashri, 21, bersyukur apabila permohonan Bantuan Raja Sehari yang dibuat mereka sebelum ini diluluskan.
Lebih manis, replika cek bantuan berkenaan berjumlah RM1,000 itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid sempena Majlis Korban Perdana di Rumah Orang Semerah, Batu Pahat di sini semalam.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pasangan yang masih dalam ‘mood’ bulan madu itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah atas bantuan berkenaan.
“Rasa terharu dan gembira atas Bantuan Kasih Bangsa Johor ini kepada kami yang baru melangsungkan majlis pernikahan pada bulan Mei lalu.
“Tak sangka pula kami merupakan pasangan pertama menerima bantuan sebanyak RM1,000 di DUN Semerah,” kata Mohamad Aiman Hakim.
Menurutnya, mereka melangsungkan majlis akad nikah pada 21 Mei lalu di rumah Nur Asyura di Parit Karjo, Parit Raja.
Dia yang bertugas sebagai pekerja am di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manggis mula berkenalan dengan isterinya pada tahun 2020 di D Garden ketika bersiar-siar di taman rekreasi berkenaan.
Nur Asyura yang bekerja sebagai operator di kilang Ramatex menyambut baik lamarannya setelah berkenalan selama dua tahun.
“Suami saya sangat gentleman (budiman) kerana dia berani jumpa ibu bapa saya untuk menyampaikan hasrat meminang saya.
“Itu yang membuat ibu bapa saya percaya akan tanggungjawab suami apabila berani berjumpa ibu bapa saya walaupun umur dia baru 20 tahun,” katanya.
Pasangan muda itu mengaku mereka tidak menyesal berkahwin pada usia muda kerana masing-masing sudah bekerja dan mampu hidup berkeluarga walaupun mempunyai pendapatan hanya ‘cukup makan’.
“Kami percaya rezeki orang berkahwin ini akan bertambah dengan izin Allah dan bercadang dapat anak secepat mungkin pada usia muda,” kata Nur Asyura.
Pasangan tersebut merancang untuk mengadakan majlis persandingan di rumah pengantin lelaki di Sungai Rambut, Parit Raja pada Oktober depan. –UTUSAN ONLINE