PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara menafikan kenyataan yang disebarkan yang mendakwa jabatan itu menetapkan perbicaraan SRC tidak sah kerana kesilapan prosiding.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu memaklumkan, Mahkamah Persekutuan menetapkan pendengaran rayuan kes SRC melibatkan Datuk Seri Najib Razak akan dibicarakan bermula 15 Ogos ini di mana jabatan ini akan hadir sebagai responden atau pendakwa raya.
“Jabatan ini akan meneruskan dengan rayuan kes tersebut dan akan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Jabatan ini menafikan ada membuat ketetapan seperti yang dikatakan dalam kenyataan tersebar itu dan menegaskan berita itu adalah sama sekali tidak benar dan palsu,” katanya hari ini.
Terdahulu, tersebar satu kenyataan kononnya dikeluarkan oleh jabatan itu bertajuk “Pejabat Peguam Negara menetapkan yang perbicaraan SRC tidak sah kerana kesilapan prosiding”. –UTUSAN ONLINE