Rasuah: Kontraktor dijel sehari, denda RM10,000

Rasuah: Kontraktor dijel sehari, denda RM10,000

PHANG Kok Ling tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk dituduh cuba memberi rasuah pegawai penguat kuasa pada April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat ‘murni’ seorang adik untuk membantu abangnya yang dikenakan tindakan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membawa padah apabila dihukum penjara sehari dan  denda RM10,000.

Tertuduh, Phang Kok Ling, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan cuba memberi rasuah RM1,500 kepada seorang pegawai MBIP pada 12 April lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kok Ling didakwa cuba memberi suapan kepada Penolong Pegawai Penguat Kuasa MBIP,  Shah Rizal Abdul Hamid sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat Lotus Reflexology Spa Sdn. Bhd.

Tindakan itu dikenakan kerana premis terbabit menjalankan perniagaan tanpa lesen dan gagal mematuhi notis memberhentikan perniagaan serta kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang hadir menemani abangnya di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP pada 11 April lalu telah menawarkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa itu sebagai tanda ‘kawan’ dan tidak mengambil tindakan lagi pada masa akan datang.

Walaupun diberi amaran sebanyak tiga kali bahawa perkara itu merupakan satu kesalahan, tertuduh tetap menghulurkan wang RM1,500 sebelum meletakkannya di atas meja.

Pegawai penguat kuasa terbabit kemudian membuat tangkapan ke atas tertuduh dan membawanya ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keesokan hari untuk membuat aduan sebelum tertuduh ditahan oleh pihak SPRM.

Terdahulu, peguam tertuduh, Goh Sze Han memohon supaya tertuduh yang bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan bulanan RM4,000 mempunyai tanggungan seorang isteri dan dua anak yang berusia antara satu dan lima tahun dikenakan hukuman minimum.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula hari ini di Penjara Kluang dan denda RM10,000 serta tiga bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya