Rakyat Perlis sanggup ke Kedah tonton Mat Kilau - Utusan Malaysia

Rakyat Perlis sanggup ke Kedah tonton Mat Kilau

mat kilau
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bukan sahaja Kelantan, malah penduduk Perlis juga terpaksa bertandang ke Kedah untuk menonton filem Mat Kilau berikutan negeri itu juga tidak mempunyai pawagam.

Bagaimanapun, penduduk negeri ini beruntung kerana jarak untuk ke pawagam di Alor Setar, Kedah itu tidak begitu jauh hanya memerlukan perjalanan sekitar sejam sahaja.

Perlis sebelum ini pernah mempunyai beberapa pawagam seperti Capitol, Mahkota, Empire dan Cathay, namun ditutup sekitar awal tahun 2000.

Seorang pekerja swasta, Siti Nadia Omar, 35, berkata, dia terpaksa ke Alor Setar atau Jitra yang mengambil masa kira-kira sejam dari Kangar dengan berkereta jika mahu menonton wayang.

SITI NADIA OMAR

Katanya, ketiadaan pawagam di negeri ini menyebabkan penduduk mengeluarkan kos untuk perjalanan ke negeri jiran dan lebih menyusahkan lagi bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.

“Jika yang tidak ada kenderaan sendiri, mereka perlu naik bas yang pastinya memakan masa perjalanan yang lebih panjang berbanding memandu sendiri.

“Panggung wayang sepatutnya perlu ada di negeri ini sebagai tempat mengisi masa lapang. Saya berharap akan ada pihak yang melabur untuk membina pawagam dan saya pasti ramai yang akan mengunjunginya.

“Kita dapat lihat apabila ada sesuatu pembangunan atau cawangan jenama kedai atau restoran dibuka di Perlis, sambutan rakyat sangat memberangsangkan. Saya pasti ia akan mendapat reaksi yang sama jika wayang dibuka” katanya.

Sementara itu, seorang kerani, Saniyatulhuda Abdul Rahman, 43, juga berkongsi pandangan yang sama dan mahu panggung wayang diwujudkan semula di negeri ini.

SANIYATULHUDA ABDUL RAHMAN

“Pawagam sepatutnya perlu ada di negeri ini sebagai tempat untuk orang ramai mengisi masa lapang atau menghilangkan tekanan kerja dengan menonton filem-filem terbaharu.

“Selain itu, ia juga memberi ruang kepada keluarga dan rakan-rakan untuk meluangkan masa bersama tanpa perlu pergi jauh ke negeri jiran,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya