PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini diminta tidak terkeliru dengan dakwaan segelintir pihak yang menyatakan kononnya puasa sunat Arafah di negara ini perlu mengikut takwim Arab Saudi.
Sebaliknya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi hantaran berbentuk infografik dalam laman sosialnya, mengesahkan tarikh itu jatuh pada 9 Julai.
Di Malaysia, puasa sunat tersebut perlu mengikut perkiraan rukyah anak bulan Zulhijah pada sesuatu negeri berdasarkan pendapat kedua Mazhab Syafie dan sebahagian ulama Malikiyah.
Tambahan, ujar Jawi memetik kenyataan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd, Adnan, matla’ atau zon terbit matahari dan bulan yang jauh berbeza daripada Arab Saudi.
“Kedudukan Malaysia terletak kira-kira 7,000 kilometer dari negara itu dan penentuan imkanur rukyah atau kebolehnampakan hilal masing-masing adalah tidak sama,” jelas agensi tersebut.
Mingguan Malaysia pada 3 Julai lalu melaporkan takwim di negara ini langsung tidak pernah menetapkan tarikh Hari Raya Aidiladha mestilah berlangsung sehari selepas wukuf di Arafah.
Isu itu didedah pakar rujuk falak tempatan, Datuk Dr. Azhari Mohamed yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia sebagai mengulas kekeliruan umat Islam.
Ia susulan ramai warganet dilaporkan terkejut apabila Hari Raya Aidiladha diisytiharkan pada 10 Julai dan bukan dijangka 9 Julai ekoran Arab Saudi mewartakan tarikh wukuf pada 8 Julai.
Pandangan berkenaan turut disokong Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir yang menegaskan bahawa setiap negara memiliki matla berbeza dan tidak pun tertakluk kalendar di Arab Saudi.
“Situasi ini termasuk penentuan awal bulan Zulhijah walaupun ada berlaku penampakan hilal di Arab Saudi,” katanya menerusi kenyataan disiarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor semalam. – UTUSAN