SHAH ALAM: Projek pendalaman Sungai Klang akan dilaksanakan dua bulan lagi bagi memastikan sungai tersebut mampu menampung limpahan air yang banyak ketika musim hujan khususnya pada hujung tahun.
Projek yang akan dijalankan oleh Syarikat Landasan Lumayan Sdn. Bhd. itu perlu untuk mengatasi masalah dasar yang cetek terutama di kawasan seperti Kerinchi, Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor.
Pelaksanaannya juga akan disekalikan dengan perancangan Skim Jaminan Air Mentah (SeJAM) yang sudah mengenal pasti 21 kolam dan tasik untuk dijadikan tempat penampan limpahan air sungai untuk mengurangkan risiko banjir.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, selain pendalaman Sungai Klang, projek pengalihan limpahan air di Sungai Damansara juga akan dilaksanakan menerusi peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang diluluskan hampir RM600 juta.
“Ada dua perkara, satu air yang kita hendak alihkan, biasanya dari Kuala Lumpur sebab ia merupakan kawasan tinggi supaya terus ke laut, itu yang paling penting. Kedua adalah isu setempat iaitu banjir, itupun kita akan uruskan di bawah rancangan banjir tempatan.
“Memang ada kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Sebab semua cadangan, kita lihat penyelesaian apabila berlaku banjir besar, air itu kalau kita alihkan contohnya ada Smart Tunnel, dialih ke Selangor, itu tidak selesai. Akhirnya pelepasan di mana? Kita kena pastikan air itu sampai ke laut,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau menjelaskan, projek tersebut juga diselaraskan di bawah SeJAM yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri seperti Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Kerajaan Persekutuan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Kata Izham lagi, Skim Jaminan Air Mentah diperluaskan skopnya sejak Mei lalu supaya melibatkan semua isu berkaitan air seperti banjir, kemarau dan pencemaran di bawah satu bumbung.
“Dua kaedah yang kita sudah bincangkan pertama, air yang banyak disalirkan terus ke laut atau kolam yang besar, kedua isu banjir tempatan, yang itu pun kita kena selesaikan. Jadi, pendekatan itu yang kita sedang buat sekarang ini.
“Di peringkat JPS, menyiapkan Pelan Induk Saliran Air Mesra Alam (Prisma), supaya sebarang pembinaan kolam ataupun saliran dan sebagainya mesti mengikut ketinggiannya. Sekarang pun tak ikut, ada yang tinggi rendah, jadi air banjir tersekat. Ini adalah antara perkara yang kita sedang perkemaskan dan penyelenggaraan kita pertingkatkan,” jelasnya. – UTUSAN