PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan diarahkan meneliti tawaran Turkiye berhubung kerjasama dalam membangunkan vaksin Covid-19, Turkovac buatan negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tawaran itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang dilancarkan beliau pada tahun lalu.
“Saya menyambut baik tawaran Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin Turkovac.
“Saya akan meminta Kementerian Kesihatan meneliti tawaran itu,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Ismail Sabri bertemu Presiden Turkiye itu di Istana Presiden dalam lawatan rasmi empat hari bermula 5 Julai lalu atas jemputan Erdogan.
Kedua-dua pemimpin turut mengadakan pertemuan empat mata dan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.
Malaysia dan Turkiye turut bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil dengan memperkasakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor berkenaan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) menandatangani MoU dengan Aktuel Expo Healthcare International Fair Company.
Beliau memberi jaminan yang kerajaan akan terus memperkasa Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan bertaraf dunia.
“Dengan kepakaran negara dalam bidang kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, pergigian, pembedahan plastik dan beberapa bidang lain, Turkiye berpotensi menjadi antara pasaran utama kita,” katanya. –UTUSAN ONLINE