PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempertimbang semula keperluan pengoperasian bekerja dari rumah (BDR) dan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan peningkatan kes positif Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain seperti influenza.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pengehadan pergerakan itu perlu dilakukan bagi membendung peningkatan jangkitan wabak penyakit berkenaan daripada tidak terkawal.
Katanya, ini kerana situasi semasa wabak Covid-19 dan penyakit berjangkit lain dalam kalangan kanak-kanak sehingga warga emas dilihat amat membimbangkan.
“Pertimbangan BDR dan PdPR itu perlu bagi mengehadkan pergerakan sekurang-kurangnya sebab banyak (jangkitan adalah) kluster sporadik (jangkitan yang dikenal pasti berlaku dalam komuniti tetapi punca jangkitannya tidak dapat dikesan) dan pendidikan.
“Jadi, golongan layak untuk bekerja BDR tak perlu berada di pejabat dan mungkin sekurang-kurangnya majikam mempertimbangkan sistem penggiliran.
“Namun, penekanan itu bukannya perlu dibuat di semua tempat seluruh negara, cuma di kawasan yang mencatatkan kes tinggi dan memerlukan kawalan jangkitan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, media melaporkan, beberapa indikator situasi Covid-19 negara menunjukkan peningkatan ketara pada Minggu Epidemiologi 27/2022 (ME 27/2022) bagi tempoh 3 Julai hingga 9 Julai.
Kes baharu Covid-19 meningkat 27.9 peratus berbanding minggu sebelumnya, iaitu daripada 16,694 kes kepada 21,355 kes dengan peningkatan itu membabitkan kes penularan tempatan iaitu 28.1 peratus bersamaan 16,650 kes kepada 21,325 kes.
Bilangan kes kematian disebabkan jangkitan berkenaan turut meningkat 46.2 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada 26 kes kepada 38 kes.
Survelan pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) membabitkan kes Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara juga menunjukkan peningkatan.
Kadar positif sampel ILI bagi Covid-19 pada ME 27/2022 meningkat 94.5 peratus daripada 5.5 peratus pada ME 26/2022 kepada 10.7 peratus pada ME 27/2022 manakala kadar positif sampel SARI bagi COVID-19 kekal 0 peratus pada ME 27/2022.
Mengulas lanjut, Sharifa Ezat berkata, pihaknya juga tidak menolak perlunya pelaksanaan semula daftar masuk aplikasi MySejahtera dalam mana-mana premis sekiranya jangkitan wabak menjadi tidak terkawal. –UTUSAN ONLINE