Perdim desak siasat jualan ubat online - Utusan Malaysia

Perdim desak siasat jualan ubat online

Dr. Boi Saidi Abd. Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) meminta pihak berwajib menyiasat tindakan platform perniagaan secara dalam talian yang menjual ubat-ubatan asas seperti ubat batuk, demam dan selsema.

Sejak isu kekurangan ubat-ubatan berlaku di pasaran, platform-platform dalam talian tersebut dilihat semakin aktif mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Pertubuhan itu bimbang pesakit dan ibu bapa yang terdesak ekoran kekurangan ubat-ubatan ketika ini membeli ubat tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan sekali gus boleh mengundang risiko terutama kepada kanak-kanak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, Kementerian Kesihatan perlu segera menyiasat tindakan tersebut kerana ia adalah satu kesalahan.

Ini kerana katanya, penjualan ubat-ubatan asas atau ubat belian kaunter (OTC) belum ada akta yang jelas berhubung perkara itu.

Jelasnya, OTC adalah ubat-ubatan yang dijual terus kepada pengguna tanpa preskripsi dari pakar penjagaan kesihatan, berbanding dengan ubat preskripsi, yang boleh dijual hanya kepada pengguna yang mempunyai preskripsi yang sah.

“Jadi, lebih selamat membeli ubat-ubatan asas di klinik atau farmasi kerana kita boleh bertanya tentang dos dan kesan samping ubat.

“Jika dibeli secara dalam talian, kita tidak tahu adakah ubat tersebut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan risiko jika ubat dibeli tersebut tidak berdaftar.

“Situasi ini berlaku kemungkinan disebabkan kekurangan ubat-ubatan asas di pasaran dan ada pihak cuba ambil kesempatan, jadi siasatan terperinci perlu dilakukan oleh pihak berwajib,” katanya di sini semalam.

Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 11,000 klinik swasta dan farmasi komuniti berisiko menutup operasi perniagaan jika masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan asas sejak awal tahun ini yang semakin meruncing terus berlarutan tanpa ada penyelesaian.

Kekurangan ubat seperti paracetamol, batuk dan selesema sehingga 30 peratus merencatkan operasi dan sehingga kini tidak nampak masalah itu diambil peduli walaupun telah disuarakan sejak sebulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Premier Malaysia (MPCAM), Dr. Raj Kumar Maharajah dilaporkan berkata, kekurangan itu diramal sehingga hujung tahun ini dan jika tidak diberi perhatian, ia boleh menyebabkan operasi tergendala.

Mengulas lanjut, Boi Saidi berkata, penjualan ubat-ubatan secara dalam talian sepatutnya dibuat oleh pihak farmasi yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan undang-undang berhubung perkara itu sedang digubal di peringkat kementerian dan menteri terbabit.

Jelasnya lagi, undang-undang pemberian preskripsi oleh doktor-doktor swasta secara dalam talian juga sedang digubal oleh Kementerian Kesihatan.

“Menerusi undang-undang itu juga nanti, farmasi yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan boleh mengeluarkan ubat atas preskripsi dikeluarkan doktor terbabit, bukannya beli secara berleluasa di platform secara dalam talian,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu berkata, kekurangan stok ubat-ubatan asas di pasaran turut menjadi antara faktor caj klinik swasta melambung sehingga ada ibu bapa tidak mampu menampung kos rawatan anak.

Selain itu, katanya, kenaikan harga ubat-ubatan di pasaran yang ketara iaitu antara 20 ke 30 peratus dari harga asal menyebabkan caj perubatan di klinik naik mendadak.

“Jadi, kerajaan perlu memantau ketiadaan ubat dan kenaikan harga ubat di pasaran ketika ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya