SHAH ALAM: Penyatuan dan keikhlasan dalam politik menjadi tunjang utama Barisan Nasional (BN) Selangor untuk bangkit merampas semula negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasnya, Tan Sri Noh Omar berkata, parti-parti komponen berpeluang cerah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya mempunyai dua asas itu.
“Kini, kita mahu bangkit semula dan Insya-Allah ada peluang cerah untuk memenangi semula pilihan raya umum nanti. Menjadi pembangkang di Selangor disifatkan amat pahit dan cukuplah ia hanya sekali,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 500 perwakilan pada Konvensyen BN Selangor yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Noh menambah, contoh keikhlasan itu turut dibuktikan Ismail Sabri yang pernah menjadi Ketua Pembangkang Selangor sebelum ini.
“Beliau memang bukan calang-calang pemimpin dan siapa sangka ketua pembangkang kini menjadi seorang Perdana Menteri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau meminta akar umbi menolak tanggapan wujudnya dua kluster iaitu Putrajaya dan PWTC.
“Tiada pun kluster ini dan matlamat kita hanya satu iaitu memenangi PRU15. Jentera kita sudah bersiap sedia menghadapinya termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang digerakkan setiap masa sama ada siang atau malam,” jeLasnya. – UTUSAN