BALING: Hujan lebat kira-kira pukul 4 petang ini mengakibatkan aliran air di Sungai Kupang deras, sekali gus membimbangkan penduduk terutama yang tinggal di Kampung Iboi.
Difahamkan, paras sungai selepas hujan itu dikatakan sudah mencecah jambatan Bailey yang dibina sementara bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh akibat kejadian kepala air pada 4 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Iboi, Abu Hasan Samah, berkata, hujan lebat berlaku sejak pukul 3 petang sebelum air dari Gunung Inas turun dengan deras ke sungai berhampiran kawasan kampung.
“Air masih deras sehingga kini dan ada tebing yang runtuh. Jika ada batang pokok yang dihanyutkan seperti kejadian kepala air lalu, saya rasa jambatan Bailey ini pun akan runtuh.
“Penduduk kini dalam keadaan bimbang dan ada penghuni yang telah diminta berpindah ke kawasan selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Abu Hasan berkata, tiada pokok atau kayu yang dihanyutkan seperti kejadian kepala air tempoh hari setakat ini.
Tambahnya, penduduk di situ bimbang jika kolam takungan daripada projek tanaman Musang King di atas Gunung Inas pecah kerana ia mampu memberi kesan buruk kepada mereka.
“Pihak berkuasa seperti pihak polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah berada di lokasi berisiko sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya. – UTUSAN