PETALING JAYA: Seorang penceramah bebas bergelar ustaz yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun akan diserah ke Polis Kontinjen Kuala Lumpur esok untuk tindakan lanjut.
Ia susulan tempoh lima hari reman terhadap suspek berusia lingkungan 30-an itu tamat.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, reman terhadap lelaki itu akan tamat pada esok dan akan diserahkan ke pihak Polis Kuala Lumpur.
“Setakat ini, laporan polis yang diterima babit kes itu masih kekal empat iaitu dua di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan satu lagi di Perak.
“Kita menggesa sekiranya ada mangsa lain yang mendakwa menjadi mangsa untuk tampil bantu siasatan pihak polis,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sasikala berkata, berdasarkan siasatan awal, perkenalan antara suspek dan remaja perempuan itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki itu di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum perkenalan terjalin sejak Mei tahun lalu.
Katanya, polis turut menjalankan siasatan bagi melihat sama ada wujud unsur ugutan dilakukan suspek terhadap mangsa susulan berlakunya beberapa hubungan intim sebelum ini.
“Siasatan juga masih dijalankan sama ada disebabkan perwatakan baik membuatkan mangsa percaya kepada suspek sehingga disyaki berlakunya kejadian berkenaan (rogol),”jelasnya.
Pada 16 Julai lalu, polis menerima satu laporan daripada mangsa yang mendakwa dirogol suspek.
Susulan itu, pada 18 Julai kira-kira pukul 4.50 petang, suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. –UTUSAN ONLINE