Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara hulur bantuan mangsa bencana Baling - Utusan Malaysia

Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara hulur bantuan mangsa bencana Baling

PASUKAN Bantuan Bencana Istana Negara menyediakan barang keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Baling, Kedah, semalam. -GAMBAR IHSAN ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara berlepas ke Baling, Kedah hari ini di dalam misi menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat bencana buruk baru-baru ini.

Facebook Istana Negara memaklumkan, misi diketuai Juruiring Tentera Laut Seri Paduka, Datuk Sharum Shaim itu melibatkan seramai 26 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Istana Negara serta 10 sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers).

“Sumbangan yang akan dihulurkan berbentuk peralatan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh, pengisar dan periuk nasi serta barang keperluan rumah seperti tilam, selimut dan bantal.

“Pasukan Bantuan Istana Negara turut akan menyampaikan sumbangan berbentuk baju sekolah, alat tulis dan kasut sekolah daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah kepada 396 pelajar Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Al Kahriah di Kupang,” kata hantaran tersebut.

Menurut Istana Negara, pasukan itu juga dilengkapi dengan peralatan untuk membantu membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir seperti sekolah dan dewan komuniti.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mangsa banjir dan juga menzahirkan harapan semoga bantuan serta sumbangan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka,” jelas Istana Negara lagi.

Sementara itu, Istana Negara memaklumkan Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara itu ditubuhkan di atas cetusan idea Seri Paduka dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang hilang tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana atau musibah.

Pasukan Bantuan Bencana Banjir Istana Negara telah menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir di Selangor dan Pahang. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya