JOHOR BAHRU: Pas sedang mengalami krisis keyakinan diri dan tidak lagi yakin dengan kekuatan mereka apabila sentiasa menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam berpolitik.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, perkara itu dapat dilihat apabila kepemimpinan Pas sebelum ini memberitahu akan menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum menukar pendirian mereka.
“Mula-mula Pas cadang nak pakai logo sendiri pada PRU15 nanti mungkin kerana sudah serik sebab asyik kalah teruk bila mereka guna logo Perikatan Nasional (PN) pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini. Namun selepas Muhyiddin buat kenyataan PN akan guna logo baharu, Pas pula kata akan guna logo baharu PN berkenaan.
“Ternyata Pas ini memang parti lalang dan tak tetap pendirian, keputusan mereka selalu berbolak balik. Nampaknya, bukan sahaja Muhyiddin dan PN alami krisis keyakinan diri, Pas pun mula tak percaya dengan kekuatan logo dan parti sendiri.
“Tetapi tidak mengapalah, Pas sendiri yang hendak ikut idea Muhyiddin dan Bersatu yang sebelum ini menggunakan warna merah untuk logo parti, kerana tiru UMNO dan warna biru untuk logo PN kerana tiru Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Nur Jazlan yang juga bekas Ahli Parlimen Pulai turut meramalkan keadaan Pas juga akan menjadi semakin mundur selepas PRU15 kerana telah gagal menggalas tanggungjawab ketika memegang jawatan dalam kerajaan.
“Biarpun Pas mungkin boleh menang lagi beberapa kerusi, bagi saya mereka juga akan nazak selepas PRU15 kerana gagal selepas mereka diberi kuasa di peringkat kerajaan. Menteri dan timbalan menteri Pas gagal jalankan tugas dengan banyak tindakan dan kenyataan yang tak boleh pakai.
“Jadi, rakyat juga sudah nampak pembohongan dan kegagalan Pas yang selama jadi pembangkang hanya pandai mengkritik dan buat tuduhan macam-macam kepada BN. Tetapi bila diberi peluang, rupa-rupanya mereka lebih tak layak dan lebih gagal daripada UMNO dan BN.
“Jadi, tak hairanlah kalau Presiden Pas mungkin dengan rela hati nak bawa pengikut dan pemimpin Pas lain ikut sama tenggelam dalam kapal PN yang dikemudikan Muhyiddin dan Bersatu,” katanya sambil menyifatkan kegagalan demi kegagalan yang dihadapi PN disebabkan Bersatu dan PN merupakan parti tangkap muat dan parti tiruan.
Nur Jazlan juga mendakwa rakyat sudah nampak satu persatu helah dan taktik penipuan Muhyiddin yang berselindung di sebalik ‘title’ anak guru agama.
“Malah, pemimpin Bersekutu Bersatu yang juga Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar yang bukan Melayu pun sudah tidak percaya dengan Muhyiddin dan Bersatu. Sebab itulah Timbalan Menteri itu ambil tindakan tinggalkan Bersatu kelmarin,” ujarnya. – UTUSAN