Pandu kereta 15 km cari minyak masak peket - Utusan Malaysia

Pandu kereta 15 km cari minyak masak peket

MUSTAQIM Mohamad menunjukkan kertas yang diitulis telur dan minyak masak habis di sebuah kedai runcit di Dungun, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Kesukaran mendapatkan minyak masak peket menyebabkan kebanyakan peniaga kecil di daerah ini terpaksa menggunakan minyak botol untuk kegunaan jualan mereka, meskipun harga minyak botol jauh lebih mahal.

Peniaga kedai makan, Noriyati Ahmad, 40, berkata, minyak masak peket subsidi umpama barang berharga menyebabkan peniaga terpaksa bersaing mendapatkan minyak tersebut di pasaran.

“Kadang kala saya terpaksa memandu lebih 15 kilometer (km) dari Kuala Dungun ke bandar Paka semata-mata untuk mendapatkan minyak peket.

“Kadangkala terpaksa pulang dengan tangan kosong walaupun dah pergi cari (minyak peket) banyak tempat,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di kedainya di Kuala Dungun, hari ini.

Salah seorang peniaga rempah dan kedai runcit, Mustaqim Mohamad, 23, berkata, dia turut terpaksa mendapatkan minyak peket dan minyak botol dari kedai lain berikutan tidak mendapat bekalan minyak daripada pembekal sejak sebulan lalu.

“Sebelum ini memang saya menjual minyak masak peket, tapi dah lama tiada bekalan.

“Saya juga terpaksa membeli minyak daripada peniaga lain untuk memproses rempah. Kalau tak ada minyak peket, terpaksa saya guna minyak botol,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit di bandar Dungun mendapati hanya minyak botol yang dijual.

Bagaimanapun, minyak masak botol masih dijual dengan harga lama, RM27.90 sebotol lima kilogram dan RM13 sebotol dua kilogram. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya