TUMPAT: “Sebelum itu (kawad), dia demam. Sebab itu, mata saya sentiasa fokus kepadanya.”
Itu cerita Abdul Aziz Yaakob, 60, bapa saudara kepada anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Nik Mohd. Adhar Nik Ismadi, 22, yang jatuh pengsan sewaktu berada dalam perbarisan.
Perbarisan itu bersempena Sambutan Hari Penguatkuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, Selangor, semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdul Aziz berkata, sejurus melihat anaknya itu ‘tumbang,’ dia terus terus berlari ke tengah padang kawad tanpa mempedulikan sesiapa sehingga ‘terlupa’ selipar yang disarungkan juga tertanggal.
Menurutnya, semasa kawad sesi pertama, isteri Rosmawati Ismail memaklumkan Nik Mohd. Adhar mengadu kepenatan, tetapi bersemangat untuk menggalas tanggungjawab tersebut walaupun badannya sudah nampak lesu ketika itu.
“Apabila saya nampak dia pengsan ketika sesi kawad kedua. Saya terus berlari untuk mengangkat dan menahan dari belakang, takut dia ‘tumbang’ lagi.
“Bila dia kata, abah…dah boleh berdiri, saya terus meninggalkannya. Namun, sekali lagi Nik pengsan. Saya hanya mampu melihat dari jauh kerana khuatir mengganggu proses rawatan oleh pasukan perubatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Geting di sini hari ini.
Semalam, tular kisah seorang ayah yang berlari ke tengah padang kawad untuk menyelamatkan anaknya rebah sehingga mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet.
Menceritakan hubungannya dengan Nik Mohd. Adhar, Abdul Aziz memberitahu, lelaki itu adalah anak saudaranya yang dijaga seperti anak kandung ketika berusia tiga bulan.
“Kalau orang tanya pasal Nik Mohd. Adhar, saya tidak boleh bercerita lanjut, perasaan sebak itu hadir secara tiba-tiba. Apa yang saya tahu Nik Mohd. Adhar dijaga sejak kecil dengan penuh kasih sayang sepanjang 22 tahun lalu.
“Saya tidak mahu ungkit kisah lampau asal-usulnya kerana saya takut kehilangannya…takut hatinya terguris. Kasih sayang saya tidak pernah berkurang sedikit pun,” ujarnya yang merupakan bapa kepada tujuh orang anak. -UTUSAN ONLINE