PADANG BESAR: Dalam usaha menerapkan semangat patriotik, Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Jentik di sini mengambil inisiatif membawa seramai 80 murid sekolah itu untuk menonton filem terbaharu, Mat Kilau di pawagam Alor Setar, Kedah hari ini.
Kanak-kanak tersebut yang diiringi lapan guru pengiring mengikuti rombongan menonton wayang itu dengan menaiki dua buah bas yang disediakan kepada mereka.
Seorang murid, Alif Imran Ahmad Firdaus, 12, berkata, dia begitu teruja mahu melihat sendiri karakter Mat Kilau salah seorang pejuang yang namanya dicatatkan dalam buku teks sejarah.
Katanya, dia dan rakan-rakan pernah belajar mengenai tokoh-tokoh pejuang tanah air namun apabila cerita tersebut difilemkan, ia tentunya mempunyai kelainan dan tarikan tersendiri.
“Saya ada melihat sedutan filem Mat Kilau yang penuh dengan aksi di televisyen dan membuatkan kami merasakan filem tersebut menarik dan rasa tidak sabar ingin menonton. Saya sendiri memang minat sejarah terutama melibatkan pejuang tanah air yang berjuang melawan penjajah di Tanah Melayu,” katanya.
Pelepasan rombongan berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Ruzaini Rais.
Sementara itu, Guru Besar SK Guar Jentik, Jamaludin Abu Hassan berkata, inisiatif tersebut digerakkan panitia Sejarah di bawah unit kokurikulum sekolah berkenaan.
Katanya, program berkenaan turut mendapat sumbangan Pejabat Menteri Besar dan ADUN Beseri serta beberapa pihak lain, manakala peserta hanya perlu membayar RM20 sahaja.
“Saya bersetuju sebaik sahaja mendengar cadangan daripada pihak panitia Sejarah untuk melaksanakan program ini yang bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid.
“Program seperti ini mengingatkan kita kepada perjuangan orang-orang terdahulu dan kita tidak mahu generasi akan datang buta sejarah kerana tanpa sejarah, kita tiada jati diri,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE