TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menyerahkan maklumat lengkap kepada exco Perak berhubung mural juruterbang wanita Amerika Syarikat, Amelia Earhart pada dinding sebuah premis di Jalan Abdul Jalil di sini yang menjadi perdebatan kesahihan fakta sejarah.
Yang Dipertua (YDP) MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pihaknya peka berhubung perdebatan orang ramai tentang mural yang dihasilkan pada tahun 2019 itu.
“MPT telah membuat siasatan dan semakan berhubung isu itu dan hasil lengkap kita serahkan kepada exco Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
“Saya percaya beliau akan memberi jawapan nanti bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Pelancaran Penggunaan Peralatan Sifar Karbon di bangunan MPT di sini hari ini.
Beliau mengulas perdebatan dalam kalangan ahli sejarah dan dalam media sosial mengenai kesahihan fakta sejarah mengenai juruterbang Amerika Syarikat, Amelia Earhart yang melakukan penerbangan solo wanita pertama mengelilingi dunia merentasi Lautan Atlantik pada 1937.
Juruterbang itu dikatakan mendarat di Lapangan Terbang Tekah di sini pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sewaktu dinobatkan sebagai wanita pertama membuat penerbangan solo di Lautan Atlantik.
Amelia Earhart terbang antara Thailand dan Singapura dan diberi kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Taiping pada 7 Jun 1937.
Bagaimanapun, Amelia dikatakan tidak mendarat di Taiping.
Malah, tiada foto yang menunjukkan Amelia mendarat atau berada di Lapangan Terbang Tekah.
Hal ini kerana jika benar dia mendarat di sini, sudah pasti ada rakaman foto kerana misi penerbangannya diikuti pihak akhbar pada masa itu dan mendapat liputan.
Sebaliknya, dalam catatannya, Amelia menyebut dia memutuskan untuk terbang terus ke Singapura sejauh 875 batu dan tiba di sana pada pukul 5.25 petang.
Dia juga menyifatkan Lapangan Terbang Kallang sebagai antara lapangan terbang tercantik dan moden pernah disinggahi. –UTUSAN