MetMalaysia sahkan ‘puting beliung’ landa Pulau Besar - Utusan Malaysia

MetMalaysia sahkan ‘puting beliung’ landa Pulau Besar

FENOMENA belalai air yang disahkan berlaku di Pulau Besar, Melaka dapat dilihat jelas dari Pantai Siring, Merlimau, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Fenomena didakwa puting beliung dirakam orang ramai di Pantai Siring, Merlimau di sini semalam yang turut tular dalam laman sosial disahkan adalah belalai air.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah menjelaskan, belalai air merupakan sejenis puting beliung yang menghasilkan angin laju, sehingga boleh merosakkan harta benda terutamanya struktur-struktur binaan tidak kukuh.

Beliau berkata, kejadian ketika hujan lebat di negeri ini semalam berlaku di sekitar perairan Pulau Besar dekat sini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri lokasi berlakunya fenomena tersebut pada masa akan datang.

“Berdasarkan rakaman yang tular tersebut, kejadian belalai air ini terjadi di sekitar perairan Pulau Besar, Melaka. Waktu sebenar kejadian tidak dapat dipastikan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri lokasi berlakunya belalai air. Belalai air yang disertai angin kencang boleh menyebabkan laut bergelora yang berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

“Bagi mereka yang berada dalam rumah, seboleh-bolehnya duduk di tingkat bawah dan cari sudut ruang atau bilik paling kukuh binaannya serta jauhkan diri dari kawasan yang bercermin seperti tingkap dan pintu kaca,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, tular satu video didakwa puting beliung yang menggemparkan penduduk di Pantai Siring selepas melihat kejadian berkenaan.

Tambah Muhammad Helmi, belalai air merupakan fenomena cuaca yang biasa berlaku di Malaysia dan boleh terjadi di mana-mana sahaja, terutamanya apabila awan ribut mula terbentuk di kawasan lapang yang mempunyai kelembapan udara tinggi.

“Kedudukan negara yang berada di kawasan tropika amat sesuai untuk pembentukan fenomena cuaca ini.

“Ia terbentuk disebabkan berlaku penumpuan angin di kawasan yang bertekanan rendah berbanding kawasan persekitarannya, pada skala diameter yang sangat kecil daripada beberapa meter sehingga ke 50 meter,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya