ALOR GAJAH: Seorang lelaki tidak sempat mengambil daging korban yang diagihkan di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Masjid Tanah di sini hari ini, selepas dia tiba-tiba tidak sedarkan diri dan seterusnya disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, semasa majlis sedang berlangsung kira-kira pukul 11.05 pagi, nama si mati, Abd. Malik Bakar, 55, dipanggil oleh penganjur untuk menerima daging korban, namun, tiada sahutan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan penganjur, didapati mangsa tidak sedarkan diri lantas dibaringkan di atas sofa di pusat khidmat masyarakat berkenaan.
“Pada pukul 11.05 pagi, Balai Polis Masjid Tanah menerima panggilan dari Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Masjid Tanah yang memaklumkan, seorang lelaki iaitu penerima daging korban tidak sedarkan diri.
“Semakan lanjut mendapati majlis agihan daging korban anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut sama dihadiri Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. Ketika majlis sedang berlangsung, nama si mati dipanggil, tapi tiada sahutan.
“Pegawai Khas Parlimen Masjid Tanah menghubungi pihak Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan rawatan awal. Setengah jam kemudian, ambulans dari Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru sampai dan memeriksa si mati, mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Arshad, mayat si mati yang beralamat di Durian Daun di sini dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian.
Jelasnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. –UTUSAN ONLINE