Mangsa simbahan asid alami masalah sukar bernafas - Utusan Malaysia

Mangsa simbahan asid alami masalah sukar bernafas

NURUL Dahyatul Fazlinda Mat Haizan menghadapi masalah kesukaran bernafas selepas kejadian disimbah asid oleh ayah kandung di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Mangsa simbahan asid oleh ayah kandung dalam kejadian 12 tahun lalu di Kampung Sekayu di sini, kini mengalami masalah kesukaran bernafas ekoran kecacatan pada bahagian hidung.

Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 20, berkata, sekiranya mempunyai peluang, dia ingin mendapatkan rawatan bagi merawat wajahnya sekali gus mengurangkan kesan yang ditanggungnya sejak kejadian terkena simbahan asid itu.

“Walaupun kejadian lama berlaku, akibatnya masih ditanggung sampai kini. Peringkat awal dulu, saya alami situasi sukar kerana perlu hadapi pelbagai tanggapan negatif selain tumpuan masyarakat dengan wajah ini.

“Saya tiada kekuatan memandangkan ketika itu baru berusia lapan tahun. Tipu sekiranya tidak rasa malu dengan wajah sendiri namun apabila usia kian meningkat, saya boleh terima segala ketentuan tuhan.

“Bagaimanapun kini, saya sukar bernafas seperti biasa kerana kulit wajah yang semakin tegang menyebabkan lubang hidung menjadi semakin mengecil. Risau juga sekiranya keadaan makin terus masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Kampung Sekayu, di sini, hari ini.

Tambahnya, walaupun peristiwa disimbah asid oleh bapanya yang berlaku pada 2010 masih utuh terpahat dalam memorinya, namun dia tidak pernah menyimpan dendam serta telah lama memaafkan ayahnya.

Dalam kejadian itu, katanya, seorang adiknya, Mohd. Irfan Firdaus Mat Haizan, 14, turut terkena asid yang disimbah bapa mereka namun tidak alami kecederaan serius.

“Ayah pun telah terima hukuman atas perbuatannya. Hubungan kami baik dan akrab, ayah selalu datang jenguk saya dan adik-beradik lain sekiranya punyai masa terluang. Kejadian itu tidak pernah memisahkan kami,” ujarnya.

Pada 8 Ogos 2010, Nurul Dahyatul Fazlinda dilaporkan cedera parah di muka dan mata, manakala Mohd. Irfan Firdaus cedera akibat disimbah asid oleh bapa mereka yang mengamuk.

Bapa mereka mengamuk dan menyimbah asid ke muka dua anaknya itu kerana terlalu marah terhadap isterinya kerana menuntut cerai.

Pada 2 Disember 2010, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pula menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua kali sebatan terhadap bapa mereka atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anaknya menggunakan asid. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya