MAIPk bantu kanak-kanak hidap radang usus - Utusan Malaysia

MAIPk bantu kanak-kanak hidap radang usus

Penderitaan kanak-kanak lelaki, Shaz Afif Firash, 8, di Teluk Intan yang menghidap penyakit radang usus mendapat perhatian dsripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang menyalurkan bantuan perubatan kepadanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyalurkan bantuan perubatan kepada kanak-kanak lelaki Shaz Afif Firash, 8, di Teluk Intan yang menghidap penyakit radang usus seperti disiarkan Utusan Malaysia pada 19 Julai lalu.

Dalam kenyataannya kepada akhbar ini, Bahagian Perhubungan Korporat MAIPk berkata, pihaknya memberikan bantuan kecemasan segera berjumlah RM500 dan bantuan perubatan yang telah diluluskan untuk pembelian susu jenama Pediasure berjumlah RM4,950 kepada keluarga kanak-kanak itu.

Menurutnya, petugas MAIPk Teluk Intan juga telah menyantuni dan menziarahi keluarga kanak-kanak itu di Taman Desa Caely, Teluk Intan baru-baru ini.

“MAIPk Teluk Intan amat prihatin dengan masalah yang dihadapi keluarga kanak-kanak itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, ibu kanak-kanak tersebut, Noorshakila Mohd. Noor Jalali, 32, bekerja sebagai Pembantu Am di Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) manakala suami bekerja sebagai pemandu van dan keluarga itu tinggal menyewa rumah.

Katanya, Noorshakila mempunyai tiga anak yang berusia sembilan, enam dan setahun.

“Anak lelakinya yang berusia sembilan tahun telah disahkan menghidap masalah radang usus dan telah menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada September tahun lalu dan perlu minum susu Pediasure tiga hingga lima kali sehari dengan memerlukan 10 kotak sebulan susu tersebut dengan anggaran kos RM650 sebulan.

“Selain itu, anaknya mesti mengambil ubi kentang, pisang, minyak canola dalam penyediaan menu harian,” katanya.

Menurutnya, ibu kanak-kanak itu menghadapi masalah kewangan untuk menampung perbelanjaan harian dan untuk kos berulang alik ke HRPB, Ipoh  setiap bulan.

“Beliau juga memaklumkan telah menerima bantuan daripada MPTI namun belum menyemak akaun bank jumlah sumbangan yang telah terkumpul setakat ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya