GEORGETOWN: Mahsuri Food Sdn. Bhd. (Mahsuri Food) berharap penyertaan mereka dalam Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) 2022 mampu membuka ruang untuk menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas.
Ketua Komersil Mahsuri Foodnya, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, ketika ini rangkaian produk kicap dan sos di bawah jenama Mahsuri sudah dijual di pasaran Singapura, Indonesia dan Brunei.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya berharap platform PIHEC 2022 yang berlangsung tiga hari bermula 1 Julai lalu di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Baru dekat sini, dapat menjadi platform untuk produk di bawah jenama Mahsuri menembusi pasaran United Kingdom, Australia dan negara-negara lain yang mempunyai potensi pasaran produk halal yang luas.
“Kita sedang giat mencari pembeli dan rakan pengedar supaya produk kicap dan sos Mahsuri dapat dipasarkan lebih luas di pasaran antarabangsa dan penyertaan pertama kali dalam PIHEC ini merupakan platform terbaik ke arah tersebut,” katanya.
Beliau ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri, dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International, Fazil Irwan Som di reruai Mahsuri Food sempena persidangan itu, semalam.
Selepas terhenti akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun, PIHEC yang merupakan acara tahunan kembali diadakan tahun ini dengan penyertaan 161 pempamer termasuk 11 dari luar negara selain melibatkan penyertaan dari 16 buah negara yang menyertai persidangan berkaitan industri halal global.
Dalam pada itu Mohd. Jazri berkata, penyertaan mereka dalam PIHEC 2022 juga bertujuan menyokong ekosistem industri halal yang dibangunkan di Pulau Pinang sekali gus memperkukuh jenama produk mereka khususnya di negeri itu dan wilayah utara amnya.
Menurut beliau, permintaan kepada produk kicap dan sos jenama Mahsuri meningkat di Pulau Pinang khususnya dalam dua tahun kebelakangan ini sekali gus memerlukan pihaknya mencari lebih ramai pengedar bagi menampung permintaan.
“Ketika ini kita mempunyai empat pengedar di Pulau Pinang dan berharap jumlah itu dapat ditambah menjelang akhir tahun ini supaya kita turut dapat memasarkan produk kita di kedai-kedai runcit yang lebih luas, bukannya hanya di pasar-pasar raya.
“Ini juga bagi menyokong usaha kita untuk memperkenal dan mempromosikan dua produk baharu yang kita lancarkan awal tahun ini iaitu Kicap Manis Ekstra Pedas dan Sos Berperisa Bawang Putih Ala Korea,” katanya.
Selain itu menurut Mohd. Jazri, pihaknya berharap penyertaan dalam PIHEC 2022 dapat melonjakkan penggunaan produk kicap dan sos Mahsuri dalam kalangan operator makanan dan sektor industri atau perkilangan melangkaui hanya untuk penggunaan isi rumah semata-mata. –UTUSAN ONLINE