PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus memperjuangkan kecemerlangan operasi lapangan terbang melalui kerjasama terbaharu dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Organisasi itu menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan universiti tersebut bada minggu lepas, memulakan sebanyak 15 bidang tumpuan dalam bidang operasi lapangan terbang, kejuruteraan dan teknologi.
Inisiatif itu bertujuan menyediakan peluang peningkatan berterusan dan pembinaan kapasiti dalam menguruskan rangkaian lapangan terbang MAHB menerusi pertukaran kepakaran, idea, maklumat, teknologi dan inovasi.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, selain mengejar kecemerlangan operasi, kerjasama itu memberikan peluang untuk pengkomersialan dan harta intelek.
“Dengan cara itu, MAHB juga boleh memainkan peranan dalam menyumbang kepada aspirasi negara untuk menjadi antara 20 teratas Indeks Inovasi Global menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dar. Ahmad Fauzi Ismail berkata, UTM telah melahirkan ribuan teknokrat dalam sektor kejuruteraan dan teknologi sempena usaha mempromosikan Revolusi Perindustrian ke-4 (IR4.0) negara.
“Rakan industri kami memainkan peranan penting untuk UTM dalam membawa penemuan penyelidikan kepada bakal graduan yang bertujuan untuk menjadi pencipta pekerjaan,” katanya.
Sebelum ini, MAHB dan UTM telah bekerjasama pada 2018 untuk membangunkan Foreign Object Debris Detection System (FODDS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia telah menghasilkan kejayaan pelaksanaan pelbagai pemindahan teknologi serta strategi pembangunan modal insan antara kedua-dua pihak. – UTUSAN