Liputan talian telefon, internet lemah di kampung Orang Asli - Utusan Malaysia

Liputan talian telefon, internet lemah di kampung Orang Asli

BEBERAPA penduduk Orang Asli mencari talian internet di kawasan berbukit di Pos Balar, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli dari 10 buah kampung di Pos Balar di sini mendakwa masalah rangkaian telefon dan capaian internet yang lemah menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk berhubung dengan masyarakat luar.

Dakwa penduduk, situasi itu menjadi lebih sukar buat mereka setiap kali berdepan kecemasan termasuklah bencana alam dan antara kawasan terlibat ialah Kampung Barong, Kampung Epes, Kampung Tidag, Kampung Telor, Kampung Perawas, Kampung Manjul, Kampung Balar Lama, Kampung Tembaga, Kampung Dakoh serta Kampung Peng.

Seorang penduduk Orang Asli Kampung dari Kampung Perawas, Kamal Alek, 36, berkata, capaian talian telefon dan internet masih lagi lemah walaupun beberapa pencawang telekomunikasi telah dibina oleh syarikat pengendali perkhidmatan.

“Kita berharap capaian internet dan talian di kawasan kampung Orang Asli dapat ditingkatkan.

“Masyarakat pedalaman sudah lama menghadapi masalah ini dan kami juga mahu kemudahan seperti di kawasan bandar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang penduduk dari Kampung Tapai, Dior Angah, 27, memberitahu, sudah lama pihaknya membangkitkan perkara tersebut termasuklah jaringan perhubungan jalan yang lebih selesa untuk kegunaan penduduk.

Katanya, rata-rata masyarakat Orang Asli masih menggunakan laluan balak dalam urusan harian mereka.

“Kita sudah berada pada tahun 2022, namun penduduk Orang Asli di kawasan di Kelantan masih lagi menghadapi masalah perhubungan talian internet dan telefon.

“Adakalanya kami perlu ke kawasan berbukit dan memanjat pokok bagi mendapatkan capaian internet dan membuat panggilan telefon,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim mengakui kemudahan jalur lebar dan telefon di kawasan pedalaman masih berada pada tahap lemah.

Katanya, tidak semua penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan mendapat kemudahan itu.

“Liputan internet dan talian yang baik di pedalaman harus menjadi keutamaan kerana teknologi merupakan pembelajaran atas talian ketika ini.

“Kita berharap pelancaran satelit MEASAT-3d baru-baru ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd. Nor diharap dapat menawarkan liputan internet meluas dan pengalaman jalur lebar lebih baik kepada penduduk di perkampungan Orang Asli Kelantan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN