TUMPAT: Seorang warga emas yang kudung kaki kiri dan kedua belah tangan tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk mencari rezeki sebagai tukang jahit.
Malah Fatimah Daud, 73, dari Kampung Palekbang di sini dapat menjalankan tugas seperti manusia normal lain dengan menggunting kain dan mengendalikan mesin jahit dengan penuh cermat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fatimah tidak pernah menjadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk meraih simpati sebaliknya menganggap kecacatan fizikal sejak lahir lagi pembakar semangat untuk berdikari.
“Saya mempelajari kemahiran ini dengan seorang tukang jahit berbangsa cina di Pasir Mas 50 tahun lalu. Alhamdulillah dengan kemahiran itu saya memberanikan diri mengambil upah menjahit sehingga sekarang.
“Upah yang dikenakan serendah RM20 hingga RM25 sepasang. Dalam sehari saya mampu menyiapkan lima pasang baju,”katanya merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.
Fatimah memberitahu, sejak akhir-akhir ini pendapatannya mulai merosot akibat kekurangan pelanggan dan situasi itu sama sekali tidak mematahkan semangat untuk mencari rezeki.
Katanya, ekoran itu dia terpaksa menggunakan wang simpanan untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika berdepan dengan kenaikan harga barangan.
“Alhamdulillah saya tetap bersyukur, ada sahaja yang mengulurkan beras, makanan, wang tunai kepada saya. Ketika ini saya menumpang kasih dengan anak saudara Rozita Zakaria,53, yang merupakan ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 19, sedang menyambung pelajar di sebuah kolej swasta.
“Walau pun kudung kedua tangan dan sebelah kaki, saya boleh menguruskan diri sendiri, boleh memasak dan mengemas rumah. Untuk bergerak di dalam rumah, saya mengengsot menuruni tangga untuk ke dapur dan menggunakan kerusi roda jika berada di luar rumah,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan ke dalam akaun Bank Islam milik Fatimah 03102020089833 atau hubunginya di talian 010-571 7496. –UTUSAN ONLINE