Kuarters polis berusia hampir 50 tahun tidak diselenggara - Utusan Malaysia

Kuarters polis berusia hampir 50 tahun tidak diselenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kuarters daif melibatkan anggota dan pegawai polis sudah lama membelenggu pasukan tersebut namun sehingga kini tiada penyelesaian atau penyelenggaraan secara besar-besaran dilakukan.

Ada antara kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menggunakan bahan binaan daripada kayu kini berada dalam keadaan usang dan tidak pernah diselenggara sejak dibina kira-kira 50 tahun lalu.

Mengikut data diperoleh daripada data.gov.my yang disediakan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), terdapat sebanyak 61,433 kuarters PDRM yang terdiri daripada 51,831 berpenghuni manakala 9,596 buah lagi rosak.

Masalah tandas tersumbat, siling bocor, pintu rosak dan lain-lain antara dihadapi anggota yang menghuni penempatan polis sehingga mereka lebih rela menanggung kos penyelenggaraan dan pembaikan sendiri jika tidak mahu kerosakan berlarutan untuk tempoh lama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang anggota yang enggan dikenali yang juga penghuni kuarters berkata, walaupun aduan dibuat namun penghuni terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk pihak yang berkaitan menjalankan penyelenggaran.

“Kalau nak tunggu pihak berkaitan, memang lama jadi penghuni lebih rela untuk baiki sendiri daripada menunggu penyelenggaraan daripada pihak bertanggungjawab.

“Ada kuarters yang masih struktur kayu hinggakan penghuni boleh dengar apa yang jiran sebelah buat.. Kalau jiran sembang pun boleh dengar,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye ketika dihubungi menggesa pihak kerajaan memberi perhatian terhadap isu kuarters polis walaupun sebelum ini telah dibangkitkan namun dilihat tiada tindakan drastik diambil.

Malah, ujarnya, warga polis terutama anggota berpangkat rendah terpaksa menanggung kesusahan dengan membayar sendiri kos penyelenggaraan walaupun gaji mereka hanya cukup makan.

“Tambahan pula kos sara diri dah semakin meningkat. Ada anggota juga yang terpaksa menyewa sendiri kerana penempatan yang terhad serta tidak selesa,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan lawatan serta pemerhatian pernah dilakukan di kuarters polis sebelum ini, Lam Thye berpendapat keadaan penempatan pasukan tersebut agak menyedihkan.

Ujarnya, hal ini bukan berlaku di kuarters di kawasan kampung atau terpencil namun penempatan di bandar seperti Lembah Klang turut mengalami nasib sama.

Jelasnya lagi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil perhatian terhadap isu ini bagi memastikan kuarters dapat dinaik taraf seiring dengan keadaan semasa.

“Ini juga secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan prestasi kerja dalam membanteras jenayah dan menjaga keselamatan negara.

“Kuarters ini sudah berusia berpuluh tahun malah berisiko berlakunya kejadian tidak diingini. Bagaimana anggota nak jalankan tugas dengan betul kalau terpaksa fikirkan keadaan rumah (kuarters) terutamanya yang tinggal bersama keluarga,” katanya.

Pada 2019, isu kuarters uzur dan daif turut mendapat perhatian bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tersentuh dengan keadaan balai dan kuarters polis yang daif berikutan tiada peruntukan membaikinya, manakala anggota pula tiada pilihan melainkan terus tinggal di situ.

“Sedih apabila ada kuarters yang bumbungnya bocor di sana sini tetapi tidak mampu dibaiki kerana tiada peruntukan.

“Anggota pula terpaksa berkorban kerana mahal kalau hendak menyewa di luar, terpaksa jugalah duduk walaupun bocor,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya