KTM Duke 200 – Jentera pelbagai guna - Utusan Malaysia

KTM Duke 200 – Jentera pelbagai guna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKIRANYA anda seorang peminat tegar dua roda, anda pasti kenal dan tahu tentang sebuah motosikal yang datangnya daripada Austria ini, terkenal dengan jenteranya yang kerap berwarna jingga serta popular dalam kalangan peminat motoGP yang pencinta kelajuan dan jenis sukan motor lasak seperti Motocross atau Adventure. Sebut sahaja jenama KTM, peminat motosikal tempatan mengetahui tentang kewujudan model seperti Duke atau pun RC.

Sekiranya anda baru berjinak-jinak dengan dunia dua roda ini, Duke adalah model daripada KTM yang membariskan jentera-jentera khas untuk model jalan raya tetapi mempunyai karakter seperti sebuah motosikal Motard. Jenis seperti Motard secara umumnya ialah sebuah motosikal yang menyerupai sebuah motosikal scrambler tetapi dipadankan dengan tayar untuk jalan raya dan bukannya tayar offroad yang mempunyai bonjolan bunga tayar yang berbentuk segi empat. Mempunyai pelana duduk yang tinggi, berkonsepkan street bike atau naked bike (tidak mempunyai fairing penuh), bar pemegang yang tinggi serta bahagian ekor yang menjungkit.  

Model Duke diperkenalkan sekitar 2011 dan pada waktu itu, pasaran tempatan jarang dapat melihat motosikal seperti ini. Penggunaan struktur peralatannya yang berjenama dan konsep daripada motosikal perlumbaan sebagai bahagian-bahagian standard keluaran kilang amat diminati peminat dua roda. Sebagai contoh, penggunaan penyerap hentakan hadapan (Fork) jenis terbalik sebagai keluaran standard model-model KTM. Fork pula adalah daripada jenama White Power (WP) yang juga digunakan oleh jentera-jentera perlumbaan motoGP terutama daripada pasukan rasmi KTM. Sistem brek yang digunakan pula adalah daripada jenama ByBre (by Brembo), jenama kaliper brek yang terkenal dari Itali. Seterusnya penggunaan tayar daripada jenama Metzeler yang dipasang standard dari kilang, ternyata menambat hati mereka yang serius tentang penjagaan prestasi penunggangan.

Tidak ada motosikal jenama lain ketika itu yang menggunakan bahagian-bahagian tersebut secara standard, melainkan ia dipasang atau dibeli sendiri di pasaran aksesori luar. Pengunaan warna rasmi KTM iaitu jingga, hitam dan putih adalah antara faktor yang menarik perhatian ketika di jalan raya. Pengenalan kapasiti enjin 200cc dan 390cc juga dilihat sebagai kapasiti enjin yang unik kerana ketika itu, pasaran tempatan selalunya ‘disuap’ dengan motosikal berkapasiti 150, 135, atau 250 bagi pasaran motosikal kategori jalanan pertengahan. 

PENAMPILAN 

Setelah 10 tahun bergelumang dengan arena permotoran tempatan, KTM Duke 200 telah diperkenalkan semula dengan versi ketiga yang menyerupai model kapasiti enjin lebih besar, seperti Duke 250,390, 790 dan 1,290. Menampilkan rupa bentuk yang hampir-hampir sama, cuma versi 200 dan 250 tidak disertakan dengan meter digital TFT pelbagai warna serta kebolehan untuk berinteraksi secara digital dengan alatan komunikasi anda.  

Duke 200 v3 ini diperkenalkan pada awal 2021, sekali gus versi ini dilihat menidakkan kehadiran versi 250 daripada katalog KTM untuk musim ini. 

Lampu hadapannya yang kini dihiasi dengan LED namun tetap menggunakan mentol halogen sebagai lampu utama. Tidak terhad pada rupanya yang begitu cantik dan menarik, suluhannya juga agak cukup terang dan luas untuk penunggangan di waktu malam. Suspensi berjenama WP dan jenis terbalik itu, walau tidak boleh dilaras, tetap menambah keanggunan wataknya.

Namun, tayar yang dibekalkan untuk model 2021 ini tidak lagi menggunakan jenama daripada Itali sebaliknya, jenama MRF, sebuah jenama keluaran daripada India. Sebelum ada yang melatah dan kecewa dengan pemilihan ini, jenama MRF ini telah membuktikan kebolehannya pada jentera Bajaj Dominar 400 yang juga terdapat dalam pasaran motosikal tempatan.  

Roda 17 inci depan dan belakangnya dipadankan dengan saiz tayar 110 (hadapan) dan 140 (belakang) ternyata memberikan imej ‘motor besar’ pada Duke 200 ini dan ketinggian pelana pada kadar 810mm serta berasingan untuk pembonceng, terus menambah ranggi rekaannya.

PENUNGGANGAN

Kalau hendak diukur daripada pencapaian kelajuan maksimum motor KTM Duke 200 ini, ia agak lebih rendah daripada model-model saingannya. Kelajuan maksimum yang mampu saya capai dengan fizikal badan saya ini hanya dalam sekitar 130-140 kilometer sejam (km/j). Enjin silinder tunggal 199.5cc ini, disejukkan dengan sistem sejukan cecair, lengkap dengan sistem DOHC, empat injap dan sedikit pengubahsuaian pada kotak gear enam kelajuan untuk menepati sistem emisi Euro 5. Kuasa yang dihasilkan oleh DUKE ini, mengikut spesifikasi yang dibekalkan, mengeluarkan kuasa kuda sebanyak 26hp pada kadar RPM 10,000 dan tork puncaknya ialah 19.5Nm pada kadar RPM 8,000.

Namun, prestasi unggul terutamanya apabila anda mengujinya di selekoh-selekoh tajam yang terdapat di laluan naik ke Bukit Tinggi di Janda Baik, Pahang, atau selekoh-selekoh hebat menghala ke Dataran Bukit Tangga di Kuala Kelawang, Negeri Sembilan. Kombinasi casis, dan penyerap hentakan USD berjenama WP di hadapan dan mono shock tunggal belakang menyerlahkan kebolehan jentera ini dalam penunggangan agresif. Sementara tayar dari India tersebut, sekadar memberikan prestasi yang agak baik pada permukaan jalan raya kering, namun sebaik cuaca berubah, keyakinan penunggangnya sedikit tergugat terutamanya ketika melintasi garisan-garisan putih atas jalan. 

Seperti biasa, kaliper Bybre tidak pernah gagal menghasilkan kuasa berhenti yang baik dengan kaliper dua pistonnya pada roda hadapan yang ‘mengigit’ cakera 300mm serta kaliper piston tunggal pada cakera brek bersaiz 230mm di belakang. ABS dua channel adalah juga sebagai keluaran standard kilang untuk Duke ini.

KESIMPULAN

Duke 200 ini sangat sesuai untuk jentera tunggangan harian. Posisi penunggangan yang tidak memenatkan, prestasi penyerap hentakan dan brek yang lebih baik daripada tahap normal, serta pick up yang tidak mengecewakan. 

Peminat dua roda tempatan kini tidak hanya mementingkan kelajuan atas kertas semata-mata. Tiada gunanya mempunyai prestasi enjin yang laju dan hebat, tetapi gagal diimbangi oleh sistem suspensi dan brek yang baik yang ternyata antara kemestian yang perlu ada untuk mengukur tahap prestasi satu-satu jenis motosikal.

Akan tetapi, saya tidak dapat menolak hakikat bahawa KTM Duke ini mempunyai gegaran enjin yang agak kuat sehinggakan bagi yang baru dalam arena permotoran akan merasa kebas di tapak tangan dan juga pada tapak kaki. Namun, kekurangan ini lama kelamaan dapat diterima oleh pemiliknya, terutama apabila merenung sendiri kecantikan jentera ini di keadaan statik. Kos alat gantinya juga sedikit mahal berbanding jentera-jentera yang lebih kurang sama dengan kelasnya. Penghasilan bahagian-bahagian enjin di India, dan pemasangan di Filipina dilihat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kos pembuatan dan sekali gus membolehkan lebih ramai mampu memilikinya. 

Dipasarkan pada harga kira-kira RM13,000 tidak termasuk cukai jalan dan insurans, Duke 200 ini dilihat sebagai jentera hebat mampu milik. Sekiranya anda ingin menambah kehebatan jentera Austria ini, kebolehan membeli aksesori power parts yang dihasilkan oleh KTM sendiri, mampu menyerlah rupa fizikalnya. Dari segi sosial pula, KTM mempunyai kelompok pemiliknya yang kerap mengadakan aktiviti antara mereka sejak dari mula ianya muncul dalam pasaran tempatan. KTM Duke 200, jentera yang sangat sesuai bagi mereka yang serius tentang prestasi penunggangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya