KPDNHEP terima aduan babitkan peniaga jual ayam melebihi harga siling - Utusan Malaysia

KPDNHEP terima aduan babitkan peniaga jual ayam melebihi harga siling

AZMAN Mohd. Yusof (kanan) ketika mengadakan pemeriksaan Ops Ayam Telur Minyak (ATM) Fasa 2 dan Pemeriksaan Jihad Tangani Inflasi Bantu Atasi Peningkatan Kos Sara Hidup di sebuah pasar raya di Tanjung Pinang, Tanjong Tokong, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima satu aduan hari ini membabitkan peniaga yang menjual ayam standard melebihi harga siling yang ditetapkan. 

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, pihaknya yakin akan ada lagi aduan-aduan membabitkan salah laku peniaga yang menjual ayam dan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung setiap aduan diterima sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

”Kami masih menyemak data-data yang diterima hari ini dan kami peroleh satu aduan membabitkan peniaga yang menjual ayam standard melebihi harga siling yang ditetapkan. Jika ada asas untuk tindakan selanjutnya, maka, kita akan ambil tindakan yang perlu.

”Kami akan meneruskan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan semua peniaga mematuhi harga siling yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pemeriksaan Ops Ayam Telur Minyak (ATM) Fasa 2 dan Pemeriksaan Jihad  Tangani Inflasi Bantu Atasi Peningkatan Kos Sara Hidup di sebuah pasar raya di Tanjung Pinang, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super pada RM9.90 sekilogram.

Menurut Azman, KPDNHEP juga menggerakkan semua pegawai penguat kuasa agensi itu seramai 2,200 di seluruh negara bagi memastikan bekalan mencukupi dan  penternak, pemborong serta peruncit mematuhi harga siling yang ditetapkan di semua peringkat rantaian.

Dalam pada itu, katanya, KPDNHEP meminta para pengguna menggunakan kuasa yang ada pengguna untuk membuat aduan sekiranya menjadi mangsa salah laku peniaga terutama melibatkan caj upah memotong ayam.

”Sekiranya peniaga kenakan caj servis yang lebih tinggi hingga menjangkau RM3 atau RM4, pengguna jangan lagi beli ayam pada peniaga tersebut.

”Ayam perlu dijual setiap hari, jadi jika tiada lagi pelanggan yang datang membeli ayam daripada peniaga yang kenakan caj servis, sudah tentu peniaga ini yang terima kesannya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya