KPDNHEP rampas 612kg minyak masak peket di Seremban - Utusan Malaysia

KPDNHEP rampas 612kg minyak masak peket di Seremban

ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP menunjukkan minyak masak peket bersubsidi yang dirampas dari sebuah premis kilang memproses makanan di Sikamat, Seremban, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketika isu kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi di pasaran heboh ketika ini, namun, sebanyak 612 kilogram (kg) minyak masak ditemukan dalam sebuah kilang memproses makanan, Sikamat di sini hari ini.

Penemuan itu menerusi Op ATM (ayam, telur, minyak masak) dan Op Antisorok yang dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di premis berkenaan pada pukul 11.20 pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd. Muis Samsudin berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan serbuan menemukan 612 peket minyak masak bersubsidi (1kg) dan 50kg minyak masak di dalam tong yang juga disyaki adalah minyak masak bersubsidi berada di dalam premis berkenaan. 

“Minyak masak tersebut dipercayai digunakan untuk proses penghasilan produk makanan di premis berkenaan. Pemeriksaan lanjut mendapati premis itu tidak mempunyai sebarang kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan minyak masak di premisnya. 

“Seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 45 tahun yang merupakan pengurus di premis berkenaan diambil keterangan untuk tujuan siasatan.

“Kesemua 662kg minyak masak bersubsidi berkenaan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM1,655 disita untuk tujuan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd. Muis dalam pada itu menambah, pihak KPDNHEP Negeri Sembilan memandang serius terhadap penyelewengan minyak masak peket 1kg kerana ia seharusnya dijual dan dipasarkan untuk kegunaan isi rumah. 

“Sejak Op ATM dilancarkan pada 1 Jun 2022 sehingga kini, KPDNHEP Negeri Sembilan menjalankan sebanyak 429 pemeriksaan premis yang meliputi kesemua rantaian pengedaran minyak masak subsidi di Negeri Sembilan. 

“Usaha membanteras penyelewengan minyak masak bersubsidi ini akan terus dipergiatkan oleh KPDNHEP Negeri Sembilan dari semasa ke semasa,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya