KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) akan menggunakan strategi serampang lima mata untuk menangani inflasi dan kos sara hidup selain bekerjasama dengan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara langkah yang diambil adalah mengenakan kawalan harga barang keperluan asas menerusi subsidi bersasar dan libat-urus berterusan bersama pemain industri bagi menstabilkan harga.
Menurut beliau, KPDNHEP juga akan melakukan peningkatan penguatkuasaan melalui kolaborasi dengan semua agensi penguatkuasaan supaya ketirisan barang bersubsidi dapat dikurangkan.
“KPDNHEP juga akan memperluaskan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu hampir 600 dan ditambah juga 13 kawasan Parlimen yang tiada DUN. Harga ditawarkan juga jauh lebih murah dari harga pasaran tempatan iaitu sebanyak 20 peratus diskaun diberi.
“Advokasi perubahan kecil terhadap gaya hidup pengguna untuk mempengaruhi permintaan dan seterusnya harga barangan di pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pra Pelancaran Karnival Barangan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan jawatan kuasa bagi menangani inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Alexander menjelaskan bahawa strategi-strategi tersebut membuktikkan berjaya menangani isu berkaitan inflasi dan kos sara hidup apabila terdapat hasil terutama ayam serta telur.
Malah, jelasnya, harga minyak masak botol juga dijangka turun dalam masa dua minggu lagi selari dengan turunnya harga minyak masak mentah pada minggu ini iaitu dari RM7,000 per tan metrik kepada RM3,600 per tan metrik.
“KPDNHEP juga bersama dengan kementerian lain terutamanya dalam Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan libat urus yang kita jalankan bersama pemain industri serta pihak-pihak lain akan memberi kesan kepada penurunan harga keperluan turun.
“Kita nak melihat ada perubahan dan tidak ada lagi kenaikan harga,” katanya. –UTUSAN ONLINE