TUMPAT: Seorang ahli perniagaan menghadiahkan seekor lembu ‘sado’ kesayangan miliknya bernilai RM15,000 untuk dikorbankan dan kemudian diagihkan kepada golongan asnaf pada sambutan Hari Raya Aidiladha, Ahad ini.
Murtadhatumizi Mustapha yang juga Pengerusi Pertubuhan Kasih Mz Gold Kelantan (Kasih Mz Gold) berkata, lembu jantan baka Charolais seberat 700 kilogram itu akan dikorban pada hari raya pertama.
Menurutnya, seramai 15 petugas akan terlibat dalam kerja-kerja melapah dan memotong daging untuk dimasukkan ke dalam bekas sebelum diagihkan kepada penerima.
“Ini merupakan sebahagian daripada sumbangan kecil Kasih Mz Gold kepada golongan yang kurang berkemampuan.
“Saya akui, kenaikan harga barang dan kos sara hidup ketika ini memberikan kesan. Rentetan itulah saya terpanggil untuk mengorbankan lembu ‘sado’ ini,” katanya kepada pemberita di sini Kampung Dalam Pagar, Pasir Pekan Hilir, di sini hari ini.
Murtadhatumizi memberitahu, berpandukan kepada berat itu seramai 1,000 golongan asnaf akan dapat menikmati daging korban tersebut.
Katanya, agihan daging itu melibatkan penerima dari sekitar Kota Bharu dan Tumpat.
“Saya bercadang untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan pada masa akan datang.
“Selain itu, saya turut menyediakan perkhidmatan korban kepada penduduk kampung pada harga murah iaitu RM600 satu bahagian,” ujarnya.
Murtadhatumizi berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan orang ramai untuk sama-sama berkorban pada sambutan Hari Raya Aidiladha. –UTUSAN ONLINE