LIPIS: Ketua kampung di Kampung Tanjung Buluh di sini memperoleh rezeki lumayan apabila menjual ikan baung ekor merah seberat 50 kilogram hasil tangkapan di Sungai Jelai berdekatan kampung itu dengan harga RM1,250.
Ketua kampung berkenaan, Najid Abu, 47, berkata, baung ekor merah itu ditangkap menggunakan ‘taut’ yang mana tali pancingnya dipasang pada dahan pokok di tepi sungai tersebut dengan menggunakan umpan ikan keli hidup pada petang semalam.
“Selepas menghantar anak ke sekolah, saya turun ke sungai pukul 7.30 pagi hari ini untuk melihat taut yang dipasang dan tergamam apabila melihat seekor ikan baung ekor merah bersaiz besar bergumpal di permukaan air untuk melepaskan diri.
“Mungkin rezeki menyebelahi saya, jika lewat ikan ini boleh terlepas kerana tali taut yang diikat pada dahan pokok tepi sungai ini berkemungkinan boleh putus direntap ikan ini,” katanya di Kampung Tanjung Buluh dekat sini hari ini.
Najid berkata, dia mengambil masa hampir 10 minit untuk menarik baung ekor merah itu yang masih kuat meronta naik ke atas darat dan berwaspada supaya tidak terlepas ke dalam sungai.
“Ikan ini dibawa ke sebuah kedai runcit di pekan Kerambit dan setelah ditimbang, ia seberat 50 kilogram lalu saya terus memotong setiap bahagian berat satu kilogram untuk dijual.
“Ramai penduduk teruja dan membeli hasil tangkapan ini malah segelintir daripada mereka belum pernah melihat spesies liar bersaiz besar ini lebih dekat dan masing-masing terus berbelanja untuk dibawa pulang,” katanya.
Menurut Najid, dia bersyukur kerana memperoleh hasil jualan berjumlah RM1,250 berasaskan harga RM25 sekilogram pada pada hari ini.
Dia berkata, sebelum ini spesies baung ekor merah belum pernah ditemukan cuma spesies yang sama di habitat sungai tersebut, tetapi bersaiz agak kecil atau berat seekor antara lapan hingga 10 kilogram.
“Spesies eksotik liar ini merupakan ikan pemangsa dikatakan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam, kini mula menjadi pilihan penggemar ikan air tawar di Lipis namun agak jarang ditemui di Sungai Jelai berdekatan kampung ini berbanding ikan baung biasa,” katanya.
Jelasnya, isi baung ekor merah yang enak dimasak campuran tempoyak, kari dan asam pedas sudah tentu menyelerakan ketika disajikan untuk makan tengah hari bersama keluarga. –UTUSAN ONLINE