SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas bagi menangani dan mengatasi isu-isu dihadapi rakyat ketika ini termasuk berhubung peningkatan kos sara hidup.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jawatan kuasa tersebut akan berfungsi sama seperti Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri juga akan bincang perkara tersebut dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan akan datang ini untuk sediakan jawatan kuasa yang sama di peringkat negeri.
“Jawatan kuasa ini berperanan untuk memastikan isu-isu rakyat dapat diatasi dan diambil maklum dengan lebih baik bagi diambil tindakan,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembinaan Baharu Masjid Bandar Seremban Selatan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri komited untuk melaksanakan projek pembinaan 10 buah masjid baharu di Negeri Sembilan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM64.5 juta.
“Tujuh buah masjid daripadanya dibina dengan peruntukan Kerajaan Negeri dan selebihnya peruntukan Kerajaan Persekutuan. Pada tahun 2023, 10 buah masjid ini akan siap dibina untuk diimarahkan oleh masyarakat Islam di Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut Menteri Besar, Masjid Bandar Seremban Selatan yang dibina dengan kos RM6.5 juta merupakan salah satu daripada tujuh buah masjid baharu yang dibina kerajaan negeri di bawah Peruntukan Pembangunan Negeri Sembilan.
“Masjid ini dianggar boleh memuatkan kira-kira 1,000 jemaah dengan skop projek melibatkan kerja-kerja pembinaan bangunan masjid yang merangkumi antaranya ruang solat lelaki dan wanita, tempat wuduk dan tandas, bilik mesyuarat, bilik pengurusan masjid dan bilik pengurusan jenazah.
“Bagi memudahkan jemaah untuk menunaikan solat, sejumlah 134 petak parkir kereta, 83 petak parkir motosikal dan empat petak parkir orang kurang upaya akan disediakan bagi jemaah yang membawa kenderaan,” katanya. –UTUSAN ONLINE