KUALA LUMPUR: Majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H atau 2022, bertemakan ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, tema tersebut adalah sebuah konsep yang sangat signifikan kepada umat Islam di negara ini.
Jelas beliau, konsep tersebut menunjukkan kerjasama seluruh rakyat dalam menghadapi sebarang krisis dan menyemai pengkayaan nilai dalam diri.
“Konsep ‘Keluarga Malaysia’ dianggap sebagai satu simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi krisis akibat daripada pandemik Covid-19. Konsep tersebut jelas menunjukkan kepentingan institusi keluarga dalam menghadapi situasi yang mencabar.
“Tiga teras utama digariskan iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dijadikan sebagai nilai dalam konsep Keluarga Malaysia.
“Ia akan menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga,”
Majlis sambutan tersebut turut menerima keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Selain itu, turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Seramai 500 orang tetamu juga hadir yang terdiri daripada barisan menteri-menteri dan timbalan menteri kabinet, duta-duta, ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan kerajaan, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan orang awam.
Mengulas lebih lanjut, Hakimah berkata, terdapat tiga usrah yang harus diterapkan dalam setiap keluarga di Malaysia supaya boleh dijadikan sebagai panduan melahirkan kemakmuran negara.
Katanya, tiga usrah itu adalah taaruf (saling mengenali), tafahum (saling memahami) dan takaful (saling membantu).
“Jika usrah ini dipraktiskan oleh semua lapisan masyarakat merentasi ahli keluarga maka akan lahirlah sebuah negara yang berada di dalam rahmat Allah,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE