PETALING JAYA: Konsesi beras yang diberikan kepada Padiberas Nasional Bhd (Bernas) patut dikekalkan kerana mekanisme itu lancar dan efisien bagi menjamin sekuriti makanan negara kepada rakyat.
Malah, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, bekalan beras juga tidak terjejas dan sehingga ke hari ini, harga runcitnya masih kekal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tidak semua konsesi lesen import (AP) memberikan masalah kepada sekuriti makanan negara dan ada yang perlu dikekalkan sekiranya terbukti ia tidak bermasalah.
Menurut beliau, aspek yang wajar diberikan tumpuan adalah menambah baik aspek sekuriti makanan negara agar stok beras bertambah baik berbanding membincangkan soal konsesi.
“Kita perlu selektif di dalam membuat setiap dasar dan jangan memilih secara pukul rata kerana akhirnya semua perlu memahami apa yang berlaku dalam setiap pasaran ke atas barangan kawalan kerana ia bersifat unik dan tersendiri.
“Misalnya rantaian nilai beras berbeza daripada ayam dan juga minyak masak, begitu juga bahan api. Maknanya kita harus bertindak secara bijak dalam hal ini dan mempunyai data dan maklumat yang tepat, justeru tidak terlalu terikut dengan tekanan politik,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Bernas yang mempunyai kuasa untuk memonopoli import beras.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, lanjutan tersebut perlu dihentikan supaya peladang, petani dan pesawah padi mendapat manfaat langsung.
Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi menambah, kerajaan tidak perlu mengubah sistem yang ada sekiranya ia berjalan dengan baik dan efisien.
“Apa yang penting adalah menambah baik aspek sekuriti makanan negara agar bekalan beras lebih bertambah baik, misalnya Bernas dikehendaki mengendalikan antara tiga ke enam bulan simpanan beras negara dan ini bukanlah murah kerana ia melibatkan kos kewangan yang mesti ditanggung oleh mereka.
“Bagaimana perlu kita memperbaiki simpanan beras negara ini supaya lebih panjang misalnya hingga ke setahun tanpa kos yang tinggi dan mempunyai teknologi tinggi untuk mengelakkan kerosakan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Bernas untuk menerokai kerjasama dengan pelbagai pihak dalam menerokai penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memperbaiki dan menambah baik teknologi simpanan beras negara.
Bagi pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, Bernas telah memberi banyak sumbangan kepada negara apabila berjaya mengendalikan proses agihan beras dengan baik sehingga ke hari ini.
Menurut beliau, Bernas sudah lama diberikan kontrak oleh kerajaan untuk mengkoordinasi industri beras dan perkara itu dilaksanakan dengan berkesan
Jelasnya, jika syarikat itu tidak cekap berbuat demikian maka kerajaan boleh menamatkan dan tidak menyambung tempoh konsesi itu untuk beberapa tempoh akan datang.
Bagaimanapun katanya, soal utama perlu diberikan tumpuan adalah memperbanyakkan pengeluaran padi berbanding terus memperdebatkan soal konsesi beras.
“Ini perlu kajian mengapa Malaysia masih tidak mampu mengeluarkan padi mencukupi sedangkan kita mempunyai tanah seluas 700,000 hektar berbanding negara jiran. Adakah ia disebabkan masalah baja ataupun saliran? Ini yang perlu dikaji mengapa hasil padi sangat rendah berbanding sekitar lima hingga tujuh tan jika negara jiran sehingga 15 tan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE