Kaedah menabung, keluarga Aswane korban enam lembu - Utusan Malaysia

Kaedah menabung, keluarga Aswane korban enam lembu

ASWANE Zulkifli Strok (kiri) melapah daging korban sambil dibantu penduduk di Jalan Nirwana 12, Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah keluarga di Taman Nirwana, Batang Tiga dekat sini, menggunakan kaedah menabung setiap bulan bagi membolehkan ahli keluarga, ipar dan sanak-saudara yang tidak berkemampuan melaksanakan ibadah korban tahun ini.

Penganjurnya, Aswane Zulkifli Strok, 53, berkata, melalui kaedah itu seramai 12 ahli keluarganya dapat mengumpul RM31,550 bagi membeli enam ekor lembu untuk menjalankan korban di rumah ibunya di Jalan Nirwana 12 di sini, kelmarin (Selasa).

Menurutnya, kaedah itu mula diperkenalkan sejak 2020 dan mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli keluarganya.

“Untuk ibadah korban tahun ini, setiap keluarga mula menabung sebanyak RM100 sebulan bermula November tahun lalu dan berjaya mengumpul sebanyak RM31,550 daripada 12 keluarga bagi pembelian enam ekor lembu.

“Kadar bayaran itu ditetapkan mengikut harga pasaran lembu yang mana saya sudah buat tempahan awal dengan penternak.

“Jika harga pasaran lembu naik pada ibadah korban tahun hadapan, kita akan naikkan wang tabungan setiap bulan kerana pada ibadah tahun ini, kita tetapkan harga RM750 untuk satu bahagian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Aswane menambah, kaedah sebegitu dapat mengurangkan rasa terbeban kepada ahli keluarga yang berniat melaksanakan korban.

“Menyertai ibadah korban disunatkan kepada yang mampu, namun bila menggunakan kaedah menabung, ahli keluarga tidak berasa terbeban sangat untuk membayar sekaligus, ketika rakyat berdepan dengan kenaikan kos hidup.

“Daging korban diagih-agihkan bukan sahaja kepada penduduk di Taman Nirwana tetapi juga kepada golongan asnaf dan fakir miskin,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya