MELAKA: Taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres akan diteruskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sempena Operasi Khas Hari Raya Aidiladha bagi memantau tahap keselamatan pengangkutan awam itu sempena musim perayaan kali ini.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, taktik itu dilihat sangat berkesan dalam memastikan pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya dan mengelak berlakunya kemalangan yang mungkin melibatkan kehilangan banyak nyawa.
Taktik penyamaran juga katanya, turut digunakan untuk mengesan pemandu dan penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan.
“Tradisi balik kampung sempena musim perayaan ini sebenarnya menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya dan secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya.
“Sepanjang musim perayaan ini, JPJ negeri akan memastikan pengurusan aktiviti penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif bagi mencapai sasaran pengurangan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran operasi di Terminal Bas Melaka Sentral di sini semalam.
Muhammad Firdaus berkata, seramai 40 penguat kuasa akan bergerak dan memantau semua titik panas seluruh negeri ini antaranya kawasan bandar dan lebuh raya seperti Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).
“Hasil pemeriksaan hari ini, JPJ mengeluarkan sebanyak 25 notis saman tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (16), tiada perlindungan insuran (16), lesen memandu tamat tempoh (4) dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu sebanyak dua notis,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE