Jawi anjur sambutan Ma'al Hijrah 2 Ogos - Utusan Malaysia

Jawi anjur sambutan Ma’al Hijrah 2 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1444H/2022M pada 2 Ogos ini. 

Jawi menerusi kenyataan akhbar berkata, majlis berkenaan akan berlangsung di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. 

Menurutnya, program dimulakan dengan Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun 1444H pada 29 Julai ini sebelum solat fardu Maghrib serentak di semua 89 masjid, 123 surau Jumaat, dan 611 surau seluruh Wilayah Persekutuan. 

“Antara pengisian utama majlis sambutan termasuk Bual Bicara Khas Ma‘al Hijrah oleh  Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah dan Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dari Universiti Malaya.

“Kedua-dua ahli panel akan mengupas topik menarik bertemakan ”Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” yang akan dikendalikan oleh Mohd. Hariri Mohamad Daud dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya. 

Katanya, acara kemuncak pada majlis tersebut adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada penerima Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Ma‘al Hijrah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1444H/2022M bagi kategori Ilmuwan, Korporat, Pendakwah Mualaf, dan Imam.

Selain itu, katanya, satu kategori baharu diperkenalkan tahun ini iaitu kategori Pendakwah Mualaf bertujuan memberikan penghargaan dan dorongan terhadap kegigihan saudara Islam. 

Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1444H/2022M diadakan bertujuan memperingati dan mengambil pengiktibaran dari peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW supaya dapat diamalkan dalam kehidupan. 

Jawi berkata, tema Ma’al Hijrah tahun ini ialah ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ yang meraikan elemen pengorbanan, persaudaraan dan perpaduan yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya